RM5 bilion pinjaman projek saluran paip gas disalur semula untuk bekalan air Perak, Pulau Pinang

KERAJAAN memuktamadkan penyaluran semula pinjaman berjumlah RM5 bilion bagi membiayai pelaksanaan Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS), sekali gus membolehkan dana berkaitan projek saluran paip gas yang ditamatkan sebelum ini dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur bekalan air.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pemeteraian perjanjian penyaluran semula pinjaman itu antara Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, dengan Export-Import Bank of China (CEXIM) yang diadakan di Sasana Kijang, Kuala Lumpur hari ini.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, perjanjian itu merupakan perkembangan penting dalam usaha kerajaan menyelesaikan rundingan berkaitan pinjaman bagi projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP).

Untuk rekod, kedua-dua projek berkenaan ditamatkan pada 2018, namun Malaysia masih menanggung obligasi pembayaran balik pinjaman berjumlah RM8 bilion kepada CEXIM walaupun projek terbabit tidak dilaksanakan.

MoF berkata, isu berkenaan masih belum dapat diselesaikan meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh tiga pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, menerusi perjanjian terbaharu itu, sebanyak RM5 bilion daripada pinjaman berkenaan disalurkan semula untuk membiayai NPWSS, sekali gus membolehkan sebahagian dana dimanfaatkan bagi pembangunan infrastruktur asas.

Projek NPWSS dijangka memberi manfaat kepada penduduk di utara Perak dan Pulau Pinang menerusi pembangunan sistem bekalan air bersepadu yang merangkumi beberapa komponen utama.

Antaranya penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kerja menaik taraf infrastruktur di sepanjang Sungai Kurau dan Terusan Besar serta pembinaan loji rawatan air di Kamunting dan Bogak.

Projek itu menyasarkan kapasiti bekalan air sebanyak 700 juta liter sehari bagi kawasan utara Perak, termasuk kawasan perindustrian Kerian, manakala 300 juta liter sehari diperuntukkan untuk Pulau Pinang.

Selain itu, sebanyak 500 juta liter sehari air mentah turut disasarkan bagi memenuhi keperluan pengairan pertanian.

Kerja pembinaan projek berkenaan akan dilaksanakan oleh syarikat kontraktor tempatan.

MoF berkata, keterjaminan bekalan air merupakan antara keutamaan Kerajaan Persekutuan bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi, khususnya di wilayah utara Perak.

Pelaksanaan NPWSS dijangka memperkukuh keterjaminan sumber air jangka panjang selain memenuhi peningkatan permintaan bagi kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian.

Majlis pemeteraian perjanjian itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi CEXIM, Chen Huaiyu; Charge d’Affaires Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Lin Shiguang; serta Naib Presiden China National Petroleum Corporation (CNPC), Jun Xie.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Ahli Lembaga Pengarah SSER, Mohd Fariszan Ahmad dan Naib Presiden CEXIM, Kang Wang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here