INISIATIF anti-penipuan Parcel Shield dilancarkan bagi membendung kegiatan penipuan yang menyasarkan pengguna perkhidmatan penghantaran bungkusan, khususnya menerusi penyamaran syarikat kurier dan pautan palsu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif diterajui Postal Forum itu diperkenalkan bagi memperkukuh perlindungan pengguna susulan peningkatan risiko penipuan yang mengambil kesempatan terhadap kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan pos dan kurier.
Menurutnya, antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk penyamaran sebagai syarikat kurier, notifikasi penghantaran palsu, pautan pancingan data (phishing) serta penipuan pembayaran semasa penghantaran (COD).
“Parcel Shield yang dilancarkan hari ini akan dapat memberi perlindungan tambahan kepada pengguna daripada modus operandi atau cara scammer beroperasi dalam platform-platform e-dagang.
“Kita juga menggalakkan mana-mana pihak yang merasakan ada perkara yang perlu dilaporkan supaya segera membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) di Shah Alam hari ini, lapor BH.
Dalam perkembangan berkaitan, Postal Forum yang dilantik MCMC memaklumkan, antara komponen utama inisiatif itu ialah penubuhan Kumpulan Kerja Parcel Shield (PSWG) sebagai platform perkongsian maklumat, penyampaian amaran awal dan penyelarasan langkah pencegahan penipuan.
Kumpulan kerja berkenaan kini disertai 14 organisasi berdaftar termasuk ABX Express, City-Link Express, DHL eCommerce, GD Express dan J&T Express.
Melalui kerjasama itu, PSWG berperanan meningkatkan kesiapsiagaan pemain industri dalam mengesan serta menangani ancaman penipuan dalam ekosistem penghantaran, sekali gus melindungi kepentingan pengguna.
Sementara itu, Fahmi berkata, sebanyak 13,045 kandungan berkaitan penipuan, perjudian dan perkhidmatan tidak dibenarkan dikesan di platform e-dagang bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Oktober lalu.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jemaah Menteri dalam mesyuarat semalam bersetuju membenarkan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi memperkukuh kerangka kawal selia industri berkenaan.
Katanya, beliau akan meminta MCMC dan Kementerian Komunikasi menjemput semua syarikat penghantaran yang dilesenkan di bawah suruhanjaya itu untuk terlibat dalam proses penggubalan pindaan berkenaan.
“Proses penyediaan draf pindaan itu dijangka mengambil masa beberapa bulan sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan seterusnya dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Kita menjangkakan proses itu dapat dilaksanakan seawal pertengahan atau hujung tahun depan,” katanya.
Sementara itu, MCMC dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 memaklumkan, kerajaan akan terus mempergiat usaha mentransformasikan industri pos dan kurier negara menerusi pembaharuan kawal selia, kerjasama strategik serta penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan keselamatan pengguna.
Menurut Fahmi, usaha itu penting bagi memastikan industri berkenaan kekal berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan ekonomi digital yang semakin berkembang.
“Industri pos dan kurier yang dianggarkan bernilai RM6.9 bilion itu memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital, khususnya menerusi perkembangan pesat sektor e-dagang.
“Antara langkah yang sedang diberi perhatian adalah penelitian terhadap cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741] serta perancangan mewartakan Kaedah-kaedah Perkhidmatan Pos (Keselamatan Perkhidmatan Pos dan Barang Pos yang Dilarang) 2026 (PSR2026), tertakluk kepada proses kelulusan berkaitan,” katanya.
Sambutan bertemakan ‘Memelihara Industri, Memperkukuh Kepercayaan’ itu dianjurkan Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sementara itu, HKN2026 turut memberi pengiktirafan kepada warga industri menerusi penyampaian anugerah Pekerja Kurier Terbaik, Cabaran Pemanduan Selamat serta program MyCSP Courier Safety Passport yang menekankan aspek keselamatan dan kualiti perkhidmatan.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Halim Hamzah; Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali; Pengerusi AMEC, Ronald Tan serta wakil agensi kerajaan dan pemain industri pos dan kurier.
Menurut Fahmi, pelaksanaan langkah berkenaan bertujuan memperkukuh aspek keselamatan, akauntabiliti pengendali industri serta perlindungan pengguna.





