CSA bukan agenda kekal kuasa, sebaliknya jamin kestabilan demi rakyat – Penganalisis

PERJANJIAN Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Pakatan Harapan (PH) dan Ahli Parlimen termasuk daripada Bersatu perlu dilihat sebagai mekanisme memastikan kestabilan pentadbiran serta kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan, bukannya usaha politik untuk mengekalkan kuasa.

Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis berkata, persefahaman itu lebih penting dari sudut kepentingan negara kerana ketidaktentuan politik boleh menjejaskan kesinambungan pentadbiran dan pelaksanaan agenda pembangunan.

MUJIBU Abd Muis

Menurutnya, CSA menyediakan ruang kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang dalam perkara penting seperti undi percaya dan kelulusan belanjawan, sekali gus memastikan urusan pentadbiran negara tidak terganggu akibat perbezaan politik.

“CSA perlu dilihat sebagai satu mekanisme untuk memastikan kestabilan pentadbiran dan bukannya instrumen politik bagi membolehkan kerajaan terus berkuasa.

“Keutamaan sepatutnya diberikan kepada kepentingan rakyat kerana kestabilan politik membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar, pembangunan ekonomi dan penyelesaian masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama sedemikian juga tidak bermaksud pembangkang perlu mengorbankan peranan mereka sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan.

Sebaliknya, katanya, kedua-dua pihak masih boleh berbeza pandangan dalam isu dasar dan kepentingan politik masing-masing, namun mencapai persefahaman dalam perkara yang menyentuh kestabilan negara.

“Perlu ada pemisahan antara persaingan politik dengan tanggungjawab memastikan pentadbiran negara berjalan lancar. Pembangkang masih mempunyai ruang untuk mengkritik dan menegur kerajaan, tetapi dalam masa sama boleh memberikan sokongan terhadap perkara yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Mujibu berkata, CSA juga tidak seharusnya disalah tafsir sebagai permulaan kepada pembentukan pakatan politik atau kerjasama pilihan raya antara PH dan Bersatu.

Menurutnya, perjanjian itu mempunyai tujuan tersendiri, iaitu membina persefahaman dalam urusan pentadbiran dan memastikan kerajaan memperoleh sokongan mencukupi bagi melaksanakan tanggungjawabnya.

“Kerjasama dalam CSA tidak semestinya membawa kepada kesepakatan dalam semua perkara, apatah lagi membentuk gabungan politik baharu.

“Perbezaan ideologi, pendirian parti dan persaingan pilihan raya boleh terus wujud. Apa yang lebih penting ialah kesediaan kedua-dua pihak meletakkan kepentingan negara mengatasi perbezaan tersebut apabila melibatkan kestabilan pentadbiran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan keberkesanan CSA bergantung kepada komitmen kedua-dua pihak untuk menghormati persefahaman yang dicapai serta memastikan ia tidak sekadar menjadi perjanjian atas kertas.

Katanya, rakyat perlu menjadi ukuran utama dalam menilai kejayaan kerjasama berkenaan, khususnya dari segi kelancaran pentadbiran, kesinambungan dasar dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Jika kestabilan yang diwujudkan melalui CSA dapat diterjemahkan kepada dasar yang lebih konsisten, pembangunan yang berterusan dan penyelesaian masalah rakyat, maka itulah manfaat sebenar yang perlu diberi perhatian,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here