PRN Melaka: Calon PRN Melaka kurang… kerjasama politik, pengalaman pahit 2021 jadi faktor

BEBERAPA hari menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan untuk memeterai kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun kerjasama itu hanya melibatkan Pas,Wawasan,Gerakan dan MIPP manakala Bersatu ‘membawa diri’ apabila membuat keputusan bertanding secara solo sehingga menimbulkan spekulasi parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi merebut 28 kerusi yang dipertandingkan.

Ramai menjangkakan dengan pendirian Bersatu dan ditambah pula keputusan parti Bersama untuk bertanding 16 kerusi serta tidak termasuk calon Bebas, jumlah calon akan bertambah.

Namun kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun menunjukkan sebaliknya.

Jumlah calon yang bertanding PRN Melaka pada 14 November ini hanyalah 79 orang berbanding 112 calon pada 2021 dengan menyaksikan BN, PH, dan PN bertembung di semua DUN.

Walaupun pada mulanya PH mengumumkan akan bertanding 21 kerusi sehingga mewujudkan spekulasi akan berlaku kerjasama politik dengan Bersatu namun PH akhirnya bertanding 24 kerusi manakala Bersatu bertanding tujuh kerusi.

Empat daripada kerusi itu menyaksikan Bersatu bertembung dengan PH di Kelebang yang diwakili oleh PKR dan tiga lagi dengan calon DAP  di  Pengkalan Batu dan Ayer Keroh.

Bersatu turut bertanding  di empat lagi kerusi yang tidak ditandingi oleh PH iaitu Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor dan Bemban. Tiadanya penyertaan PH di empat kerusi tersebut mencetuskan ‘cakap-cakap ada sesuatu’ antara mereka..namun itu hanyalah cakap-cakap.

BN pula pada mulanya berhasrat bertanding 21 kerusi, bagaimanapun selepas berlaku ‘adegan merajuk’ MCA, peruntukan tujuh kerusi yang diberikan kepada PN berkurangan kepada lima kerusi sahaja sekaligus membolehkan BN bertanding 23 kerusi.

Parti Bersama turut disahkan bertanding di 16 kerusi dengan menyaksikan mereka melawan PH dan BN di tujuh kerusi, bertembung PH tanpa BN di empat kerusi dan melawan BN tanpa PH satu kerusi.

Sementara itu, dalam PRN Melaka 2026 yang menampilkan 65 calon lelaki 14 calon wanita, parti PUTRA hanya bertanding satu kerusi sahaja iaitu di Gadek, selepas mengalami kekalahan memalukan pada PRN 2021 apabila lima calonnya hilang deposit selepas kesemuanya mendapat undi bawah 100 undi.

Jumlah calon Bebas turut menurun dengan ketara sekaligus mengurangkan jumlah calon Bebas bertanding. Jika  PRN Melaka 2021 terdapat 22 calon Bebas bertanding di 16 kerusi, kali ini hanya tiga calon sahaja iaitu di Bukit Katil, Bemban dan Sungai Rambai

Menariknya dua ahli politik yang pernah bertanding sebagai calon Bebas pada 2021 menjadi calon mewakili parti pada tahun ini iaitu Datuk Norhizam Hassan Baktee mewakili Bersatu di Pengkalan Batu manakala Mejar (B) Mohd Jaini Dimon  menjadi calon PH di DUN Ayer Limau.

Ketika bertanding sebagai calon Bebas pada 2021, Norhizam yang bertanding di kerusi yang sama mendapat 1,218 undi manakala Mohd Jaini yang bertanding di DUN Paya Rumput memperoleh 127 undi.

Dalam PRN kali ini menyaksikan 11 persaingan satu lawan satu, 11 persaingan tiga penjuru, dan enam persaingan empat penjuru.

Calon  tertua ialah daripada PH di Telok Mas, Mohamad Jaafar, 66, manakala calon termuda juga daripada gabungan itu, Mukhlisul Mubin Julasapiyah, 24, di Kuala Linggi.

Pada tahun 2021 calon paling muda ialah Farzana Hayani Mohd Nasir, 21 tahun mewakili PH di DUN Sungai Rambai manakala calon tertua Datuk Kalsom Noordin, 68 tahun calon BN di Pengkalan Batu. Tahun ini Farzana Hayani menjadi calon paling muda wanita dengan bertanding di DUN Klebang manakala Kalsom tidak bertanding.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here