POLIS sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta BMW di hadapan sebuah rumah di Taman Hijau, Kampung Koh di Manjung awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.16 pagi ketika pemilik kenderaan itu berada di dalam rumah.
Menurutnya, pengadu hanya menyedari kenderaannya menjadi sasaran tembakan sekitar jam 9 pagi selepas terdengar bunyi letupan sebelum menemukan empat kesan tembakan pada pintu sebelah kanan kereta berkenaan.
“Siasatan awal mendapati semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan dua lelaki yang belum dikenal pasti identiti menghampiri kenderaan itu dengan menaiki motosikal.
“Salah seorang daripada mereka kemudian melepaskan tembakan ke arah BMW berkenaan sebelum kedua-duanya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.54 petang hari sama.
Katanya, polis telah membuka kertas siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Usaha mengesan kedua-dua suspek kini sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau WhatsApp Hotline 017-682 8005, selain boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.





