POLIS sedang memburu tiga lelaki dipercayai warga Indonesia yang terlibat dalam kejadian samun berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah rumah di Pekan Gurney, Manjung semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa wanita berusia lingkungan 40-an berhubung kejadian itu pada jam 6.27 pagi.
“Dalam kejadian tersebut, suspek tiga lelaki dipercayai warga Indonesia telah masuk ke dalam rumah dan mengugut mangsa menggunakan parang sebelum melarikan wang tunai dan barang kemas.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan anggaran kerugian RM10,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat empat insiden dengan modus operandi yang sama berlaku di sekitar Ayer Tawar dan Pekan Gurney pada tahun ini.
“Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek yang terlibat.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-688 6222 atau talian hotline WhatsApp 017-682 8005 atau mana–mana balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.


