SEBANYAK 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara berpotensi dimanfaatkan sebagai pusat pengambilan dan penghantaran bungkusan (PUDO) bagi memperluas capaian perkhidmatan kurier, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu membolehkan syarikat kurier menggunakan kemudahan NADI sebagai lokasi pengambilan dan penyerahan bungkusan, sekali gus memudahkan urusan penghantaran kepada penduduk setempat.
Bagaimanapun, katanya, mekanisme pelaksanaan perlu diteliti semula bagi memastikan kerjasama berkenaan berjalan lancar tanpa menambah beban tugas pengurus NADI.
“Kita bersetuju untuk menjadikan NADI sebagai salah satu PUDO. Namun, saya menerima keluhan daripada pengurus NADI yang merasa seolah-olah menjadi ejen kepada syarikat kurier akibat bebanan orang ramai yang datang mengambil dan menghantar barang.
“Kita perlu berbincang dan memurnikan semula sistem ini. Mana-mana syarikat yang ingin bekerjasama dengan NADI sangat dialu-alukan, tetapi sistemnya perlulah teratur agar dapat memberi kelegaan kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) di Shah Alam hari ini.
Menurut Fahmi, kemudahan berkenaan juga berpotensi merancakkan keusahawanan digital dengan membuka peluang kepada penduduk luar bandar memasarkan produk tempatan ke pasaran lebih luas.
Katanya, kemudahan infrastruktur digital dan rangkaian perkhidmatan kurier boleh dimanfaatkan penduduk di kawasan terpencil untuk menjalankan perniagaan dalam talian tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.
Beliau memberi contoh NADI di Pekan Karakit, Pulau Banggi, Sabah yang boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi digital masyarakat setempat.
“Bayangkan jika kita manfaatkan infrastruktur digital dan perkhidmatan kurier di sana; anak-anak muda tidak perlu lagi berhijrah keluar.
“Mereka boleh memanfaatkan ekonomi digital dengan menjual produk tempatan ke seluruh dunia secara terus dari kampung halaman. Inilah yang dipanggil penghijrahan bandar songsang,” katanya.





