
Oleh DR. MOHD AMIM OTHMAN
DARIPADA sudut realpolitik, dorongan utama di sebalik jalinan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) – berteraskan Pas, Wawasan dan Gerakan tanpa Bersatu adalah usaha menyatukan undi konservatif Melayu-Islam bagi menguasai kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung.
Bagi BN, khususnya UMNO, perkongsian ini digerakkan oleh aspirasi untuk mengulangi kejayaan besar yang pernah diraih di Johor dan Negeri Sembilan. Melalui pendekatan ini, BN cuba menggabungkan asas sokongan tradisi di selatan dengan gelombang pengundi luar bandar tanpa ancaman pertembungan tiga penjuru, sekali gus membuka laluan pantas untuk kembali menerajui tampuk pemerintahan Persekutuan tanpa perlu terikat dengan tuntutan dasar reformis Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, bagi PN yang kini diterajui secara mutlak oleh Pas, Wawasan dan Gerakan kerjasama itu dijadikan jambatan untuk menembusi zon geografi yang selama ini sukar dikuasai.
Pas berhasrat memanfaatkan jentera akar umbi BN bagi meluaskan pengaruh ke pantai barat dan selatan Semenanjung. Pada masa yang sama, ketiadaan Bersatu membuka ruang kepada dan Gerakan untuk mengintai peluang menawan Pulau Pinang melalui sokongan pengundi tegar UMNO di kerusi campuran serta kawasan majoriti Melayu Seberang Perai, dengan meletakkan Gerakan sebagai instrumen elektoral untuk menarik undi bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan DAP.
Dalam perkiraan pembahagian kerusi dan penentuan calon, Pas muncul sebagai pihak yang meraih keuntungan mutlak, manakala UMNO berdepan kerugian struktur yang parah. Pas memasuki meja rundingan dengan kedudukan yang sangat kebal kerana telah mendominasi sepenuhnya negeri-negeri utara dan Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
Kerusi-kerusi di wilayah ini secara automatik menjadi kawasan larangan bagi BN, membolehkan Pas mempertahankan status quo penyandang tanpa perlu berkompromi.
Berdasarkan Prinsip Kerusi Penyandang (Incumbent Seat Principle), gabungan yang memenangi dan sedang menyandang kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut secara automatik mempunyai hak keutamaan (first right of refusal) untuk meletakkan calon mereka semula tanpa ditandingi atau dituntut oleh parti rakan sekutu.
Keadaan sebaliknya berlaku kepada UMNO di Perak dan Pahang, dua negeri yang secara tradisinya merupakan benteng maruah parti itu. Lonjakan sokongan terhadap Pas di kawasan luar bandar Perak dan Pahang menyebabkan UMNO terpaksa menyerahkan kerusi-kerusi yang telah terlepas kepada Pas dalam rundingan agihan.
Sekiranya gabungan ini menang, Pas dijangka memenangi jumlah kerusi terbanyak berbanding UMNO di kedua-dua negeri tersebut. Berdasarkan konvensyen demokrasi majoriti, jawatan Menteri Besar di Perak dan Pahang secara automatik akan berpindah kepada Pas, sekali gus menurunkan taraf UMNO menjadi sekadar rakan kongsi junior di kubu tradisi mereka sendiri.
Sementara itu, Gerakan pula terperangkap dalam pertembungan tuntutan calon dengan MCA di kerusi-kerusi campuran bandar, menjadikan agihan calon bukan Melayu sarat dengan pertikaian dalaman.
Malah berdasarkan pengalaman PRU15, Pas sangat keras dalam pertemuan mereka dengan UMNO-BN dalam aspek agihan jawatan pengurusan dan jawatan utama negeri.
Kerjasama BN–PN berupaya memaksimumkan cengkaman di kawasan pedalaman Melayu, namun ia berkemungkinan berdepan jalan buntu di kawasan bandar serta sangat dipengaruhi oleh persepsi rakyat terhadap polisi kerajaan semasa dan isu integriti.
Di Pulau Pinang, hasrat PN untuk menawan negeri itu dengan bersandarkan jentera UMNO hakikatnya menemui jalan sukar kerana pengundi bandar dan majoriti bukan Melayu masih cenderung mengekalkan sokongan kepada PH akibat kebimbangan terhadap agenda konservatif Pas manakala kekuatan undi UMNO di Seberang Perai tidak mencukupi untuk meruntuhkan majoriti dua pertiga PH di DUN Pulau Pinang khususnya DUN yang terletak di bahagian pulau tersebut.
Bagaimanapun kebalnya PH di kerusi campuran mula menunjukkan keretakan akibat pelaksanaan pelbagai polisi di bawah kerajaan Madani yang dilihat tidak popular dalam kalangan pengundi, walaupun pentadbiran tersebut turut dianggotai oleh BN.
Beban pelaksanaan dasar ekonomi, percukaian, atau penyelarasan subsidi yang menekan kos sara hidup mula mencetuskan peralihan undi protes bukan Melayu kepada BN di kubu selatan seperti Johor dan Negeri Sembilan. Keadaan akan menjadi semakin buruk jika team media kerajaan gagal mengurangkan impak negatif media sosial ke atas pentadbiran semasa.
Fenomena ini membuktikan bahawa sekiranya PH gagal membuat penjajaran semula terhadap polisi sedia ada atau gagal memperkenalkan pembaharuan yang meyakinkan, sokongan pengundi bukan Melayu kepada mereka boleh terus terhakis menjelang PRU16.
Di sebalik kelemahan polisi tersebut, PH masih mempunyai talian hayat sekiranya siri pendedahan skandal rasuah dan penyelewengan dana institusi Melayu seperti Felda, MARA, dan Tabung Haji kembali 3 membebankan UMNO, serta jika kempen tatakelola, tadbir urus bersih, dan prestasi fiskal PH berjaya meyakinkan segmen pengundi muda (Pengundi 18) untuk terus menolak pakatan BN–PN
Kerjasama ini hanya berfungsi sebagai pakatan taktikal pilihan raya jangka pendek dan bakal mengakibatkan kerosakan struktur yang kekal kepada UMNO dan BN dalam jangka panjang. Sekiranya gabungan ini berjaya menawan Perak dan Pahang pasca-PRU16, kedua-dua negeri tersebut akan bertukar menjadi milik mutlak Pas, melengkapkan dominasi enam negeri di Semenanjung bersama Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu.
Berdasarkan corak tradisi Pas di Kelantan dan Terengganu, parti itu akan mengunci penguasaan secara sistematik sebaik sahaja menawan sesebuah negeri dengan menstrukturkan semula birokrasi, mengukuhkan pengaruh ke atas kakitangan awam negeri, serta menguasai jaringan institusi agama dan kampung.
Setelah asas ini bertapak kukuh di Perak dan Pahang, UMNO tidak akan mempunyai ruang mahupun keupayaan untuk merampas kembali negeri-negeri berkenaan pada masa hadapan, menyebabkan UMNO terpinggir dan mengecil sebagai parti kerdil yang hanya bertahan di wilayah selatan.
Pilihan yang ada pada UMNO-BN adalah memastikan gabungan tersebut memberi manfaat politik kepada mereka khususnya di Perak dan Pahang.
Pola pasca-pilihan raya ini akhirnya memecahkan landskap politik Semenanjung kepada tiga wilayah kuasa yang tegar: zon utara dan pantai timur yang dikuasai Pas/PN, zon selatan yang menjadi kubu terhad UMNO/BN, serta zon koridor tengah dan bandar yang dipertahankan oleh PH.
Apabila digabungkan dengan dominasi autonomi 56 kerusi Parlimen di bawah GPS di Sarawak dan GRS di Sabah sebagai penentu kuasa mutlak, senario politik negara pasca PRU16 tidak akan menghasilkan majoriti dua pertiga buat mana-mana pihak.
Landskap politik Malaysia akan kekal terfragmentasi dalam bentuk kerajaan campuran berasaskan tolak ansur pasca-pilihan raya yang rapuh, di mana mana-mana pakatan yang bertunjangkan hegemoni konservatif akan terus terkepung dan sukar membina kestabilan jangka panjang.
Politik Malaysia akan melihat peristiwa tawar-menawar kuasa yang lebih besar dari blok Borneo jika mana-mana gabungan mahu membentuk kerajaan. Pastinya ia tidak memberi satu manfaat politik yang baik kepada gabungan parti politik di Semenanjung.
- Mohd Amim Othman adalah Pensyarah Kanan, Politik dan Kewangan, Fakulti Ekologi Manusia,Universiti Putra Malaysia





