Fahmi sedia bincang masalah kewangan syarikat media, elak petugas hilang kerja

KEMENTERIAN Komunikasi bersedia meneliti masalah kewangan yang dihadapi syarikat media bagi mencari jalan penyelesaian, sekali gus mengelakkan pemberhentian kakitangan secara sewenang-wenangnya.

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, syarikat media yang berdepan kesulitan kewangan diminta tampil memaklumkan keadaan itu kepada kementerian lebih awal supaya langkah bantuan dapat dibincangkan.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia mengadakan pertemuan dengan sidang redaksi serta pengurusan tertinggi syarikat terbabit bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai masalah yang dihadapi.

“Ini satu keadaan yang agak memilukan dan saya akan menjemput sidang redaksi serta pasukan (syarikat terbabit), terutama pengurusan tertinggi untuk duduk berbincang.

“Saya ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mana-mana syarikat media yang berdepan dengan masalah ini, datang jumpa saya, kita akan teliti penyelesaiannya.

“Janganlah, janganlah, janganlah… tiga kali saya sebut doa dalam doa ini. Janganlah dilepaskan pekerja sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Saringan Kesihatan Wartawan Yayasan CVSKL di Petaling Jaya hari ini, lapor BH.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau mahu memastikan petugas media tidak kehilangan sumber pendapatan, selain mengelakkan penerbitan yang mempunyai sejarah panjang dalam industri media daripada gulung tikar.

“Saya tak nak, kalau boleh waktu ini elaklah daripada pekerja hilang pekerjaan. Kedua, saya tak nak terutamanya ‘heritage titles’ ataupun ‘legacy titles’ daripada hilang. Jadi, saya lebih suka perkara itu tidak berlaku.

“Kalau boleh tidak ada seorang pun tetapi kalau masalah disiplin, that’s a different matter (itu perkara berbeza), tapi kalau masalah kewangan, please approach me (sila berjumpa saya). Kita akan cuba bantu dengan sedaya upaya kita,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau mahu lebih 12,000 wartawan bertauliah di seluruh negara menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa dipantau.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama Majlis Media Malaysia (MMM) dan organisasi media bagi mencari kaedah memudahkan petugas media mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

“Kita mahu menggalakkan semua pengamal media menjalani saringan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.

Menurut Fahmi, Jabatan Penerangan boleh meminta wartawan menyatakan sama ada mereka sudah menjalani pemeriksaan kesihatan ketika membuat permohonan kad perakuan media tahunan.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada pemeriksaan kesihatan itu akan dijadikan syarat untuk mendapatkan kad berkenaan, beliau berkata perkara itu belum dibincangkan.

“Buat masa ini, ia hanya satu cadangan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira keperluan wartawan yang bertugas di luar Lembah Klang, khususnya di Sabah dan Sarawak, yang mungkin berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan.

Fahmi berkata, pengesanan awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi akibat penyakit seperti diabetes dan masalah kardiovaskular.

Beliau turut berkongsi pengalaman menerima panggilan kecemasan daripada seorang wartawan yang dikenalinya dan memerlukan pembedahan jantung selepas doktor mengesan saluran darah tersumbat.

Menurutnya, kejadian itu membuktikan kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala walaupun pengamal media mempunyai jadual tugas yang padat dan mencabar.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here