SERAMAI 17 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan orang awam berkumpul di Flat Lembah Jaya, Ampang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai laporan pergaduhan pada jam 2.07 pagi sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dihantar ke lokasi.
Pemeriksaan anggota mendapati tiada pergaduhan berlaku ketika mereka tiba, sebaliknya hanya sekumpulan orang awam berada di kawasan berkenaan.
“Susulan itu, seramai 17 individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Motif mereka berkumpul masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua daripada individu terbabit direman selama dua hari, manakala 15 lagi direman tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.
Sebelum ini, beberapa rakaman video memaparkan sekumpulan individu berkumpul di kawasan Lembah Jaya tular di media sosial sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna.





