Polis lumpuhkan sindiket penipuan antarabangsa, 18 warga Taiwan ditahan

POLIS berjaya membongkar kegiatan sindiket pusat panggilan (calling centre) antarabangsa yang menjadikan ibu negara sebagai pangkalan untuk memperdaya mangsa di luar negara, dengan penahanan 18 warga Taiwan.

Kesemua mereka terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 43 tahun yang dipercayai menyamar sebagai pihak berkuasa asing bagi menjalankan kegiatan penipuan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, suspek ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 6.35 petang kelmarin.

Menurutnya, polis turut merampas 69 telefon bimbit, lima komputer riba dan dua helai baju seragam polis Hong Kong dalam operasi berkenaan.

“Berdasarkan barang kes yang ditemukan, sindiket disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan dengan menyamar sebagai polis Hong Kong dan menyasarkan mangsa dari negara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan itu menggunakan kemudahan Internet tempatan untuk menjalankan kegiatan penipuan secara dalam talian dan dipercayai sudah beroperasi sejak lima bulan lalu.

Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 2 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here