POLIS menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden pembakaran mercun ketika himpunan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan kes masih dijalankan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan pertuduhan lanjut.
“Kesemua suspek telah diberi jamin polis,” katanya ringkas dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, polis dilaporkan membuka siasatan selepas berlaku pembakaran mercun di lokasi peserta himpunan berkumpul sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka.
Dalam kejadian itu, polis turut menemukan satu bungkusan mercun yang belum sempat diletupkan dan dipercayai jenis digunakan ketika sambutan perayaan.
Terdahulu, himpunan tersebut berlangsung secara aman dengan kira-kira 300 peserta berarak dari pusat beli-belah Sogo ke persimpangan Jalan Tun Perak sebelum bersurai sekitar pukul 5.30 petang.


