PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terharu ketika mengenang hubungan rapatnya dengan pengasas Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah, Allahyarham Abdullah Abdul Rahman yang banyak memberikan dorongan dan sokongan kepadanya lebih 20 tahun lalu.
Anwar meluangkan masa lebih 10 minit berkongsi pengalaman peribadi serta kenangan bersama tokoh agama itu di hadapan kira-kira 200 jemaah di madrasah berkenaan, malam tadi.
Beliau berkata, Allahyarham memainkan peranan penting dalam memberikan nasihat, dorongan dan keyakinan kepadanya ketika melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan.
“Walaupun keadaan sudah berubah dan kedudukan saya juga sudah berubah, saya tidak akan berubah.
“Ketika saya mengunjungi madrasah ini lebih 20 tahun lalu, Almarhum banyak memberikan nasihat, dorongan dan keyakinan kepada saya,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurutnya, meskipun Allahyarham dikenali sebagai seorang yang tegas dalam pengajaran, tokoh agama itu sentiasa bermurah hati dalam memberikan nasihat serta sokongan kepadanya.
Katanya, segala dorongan yang diberikan meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya, terutama ketika berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
“Sebab itulah saya berasa amat tersentuh apabila tiba di sini tadi. Saya teringat bagaimana seorang tokoh agama yang hebat pernah memberikan sokongan dan banyak menyumbang kepada perjalanan hidup saya,” katanya.
Anwar berkata, beliau masih menyanjungi Allahyarham dan tidak pernah putus mendoakannya ketika tokoh agama itu masih hidup.
Beliau berharap legasi serta perjuangan Allahyarham terus dipertahankan dan dimartabatkan, khususnya menerusi usaha memperkukuh peranan institusi pondok serta pendidikan Islam.





