PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menyelaras bantuan kepada persatuan, penjaja dan peniaga kecil dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.
Beliau berkata, peruntukan itu mengambil kira jumlah penjaja, peniaga kecil dan persatuan yang mencecah ratusan ribu di seluruh negara.
“Pada mulanya, saya terfikir untuk mengumumkan RM100,000, yang sudah pun satu jumlah besar. Namun, apabila memikirkan terdapat ratusan ribu penjaja, perniagaan, gerai dan persatuan di seluruh negara, maka kita uruskan perkara ini dengan sebaiknya.
“Kerajaan menyediakan bantuan supaya setiap tahun kita dapat melihat peningkatan pendapatan penjaja dan peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026, di Kajang hari ini.
Dalam ucapan itu Anwar menegaskan, pengurusan dana kerajaan perlu dilaksanakan dengan baik dan tindakan tegas akan diambil sekiranya amanah itu dikhianati.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap agensi pembiayaan keusahawanan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memikul tanggungjawab yang besar bagi memastikan dana sampai kepada golongan sasaran tanpa sebarang ketirisan atau penyelewengan.
“Jaga betul-betul… ini wang amanah. Kamu langgar, kamu ditangkap dan didakwa. Ini baru boleh selamat negara kita,” katanya.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Yang turut hadir Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Datuk Zainal Abidin Abd Majid.





