KKDW terlebih belanja: Ketua AMK Selangor persoal kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri

KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Iman Haziq, mempersoalkan kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Amel Fadzmel, berhubung isu komitmen perbelanjaan berlebihan kementerian itu yang didakwa tidak selari dengan fakta di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan Facebook beliau, Iman Haziq berkata, dakwaan berhubung tunggakan bayaran dan komitmen kementerian perlu dinilai berdasarkan fakta serta rekod perbahasan di Dewan Rakyat, bukannya kenyataan yang tidak disokong bukti.

Menurutnya, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, telah menjelaskan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober bahawa KKDW berbelanja melebihi peruntukan asal sejak 2023.

Katanya, jawapan itu tidak menyebut sebarang tunggakan bayaran bagi tempoh 2020 hingga 2022 seperti yang didakwa.

“Angka yang KKDW sendiri bentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Oktober menunjukkan peruntukan asal bagi tempoh 2023 hingga 2025 ialah RM3.98 bilion, tetapi perbelanjaan sebenar mencecah RM6.11 bilion.

“Ini bermakna KKDW terlebih belanja kira-kira RM2.1 bilion dalam tempoh tiga tahun. Senang cerita, bajet RM4 bilion tetapi belanja RM6 bilion,” katanya.

Iman Haziq berkata, walaupun peruntukan 2025 dinaikkan kepada RM2.27 bilion, jumlah itu masih tidak mencukupi apabila kementerian berkenaan mempunyai tunggakan bayaran sebanyak RM1.05 bilion.

Mengulas dakwaan bahawa peruntukan tambahan diambil daripada kementerian lain, beliau berkata, bukti berhubung perkara itu turut dinyatakan dalam Hansard Dewan Rakyat pada 29 Oktober.

Katanya, Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan RM500 juta melalui Surat Kebenaran Berbelanja Melebihi Peruntukan (SKB), masing-masing RM300 juta pada 1 September dan RM200 juta pada 21 September.

“Peruntukan itu diperoleh daripada penjimatan kementerian lain, antaranya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Ekonomi.

“Datuk Seri Amir Hamzah sendiri berkata, ‘Kita pindahkan daripada kementerian lain untuk menampung SKB itu’. Malah, perkara berkenaan sudah dilaporkan media sejak 20 Oktober,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kelulusan projek oleh MOF dan Kementerian Ekonomi tidak bermaksud sesebuah kementerian boleh berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan.

Katanya, berdasarkan Arahan Perbendaharaan, Ketua Setiausaha kementerian bertanggungjawab memastikan perbelanjaan tidak melebihi peruntukan, manakala bil yang diterima perlu dibayar dengan segera.

Kata Iman Haziq, Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga sudah menjelaskan pada 2 September bahawa tiada sekatan dikenakan dan peruntukan jalan luar bandar KKDW telah disalurkan sepenuhnya.

“Masalah bayaran timbul kerana peruntukan tahun ini ketika itu sudah hampir habis dibelanjakan,” katanya.

Berhubung penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST), Iman berkata, langkah itu dibuat sementara tunggakan sedia ada diselesaikan.

Katanya, pendekatan itu munasabah bagi memastikan kontraktor yang sudah menyiapkan kerja, termasuk kontraktor kecil dan kontraktor Bumiputera, menerima bayaran sebelum kementerian melantik kontraktor baharu.

Beliau berkata, peruntukan jalan luar bandar tahun ini sudah dinaikkan kepada RM3.1 bilion, manakala RM2.27 bilion disediakan bagi 2027.

Mengulas kenyataan Amel berhubung 40 projek yang dibatalkan proses tender dan 87 projek yang ditangguhkan pengeluaran SST, beliau berkata, kedua-dua perkara itu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek oleh MOF.

“Projek yang proses tendernya dibatalkan belum mempunyai kontraktor, manakala 87 projek yang ditangguhkan pengeluaran SST juga belum melibatkan pelantikan kontraktor. Menteri Kewangan II sudah menegaskan di Dewan bahawa tidak benar dakwaan MOF membatalkan projek,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan bahawa KKDW terpaksa mengorbankan program lain, termasuk peruntukan RM200 juta untuk membina dan membaiki rumah golongan miskin serta Orang Asli.

Katanya, keputusan memindahkan peruntukan itu dibuat oleh KKDW sendiri bagi menampung keperluan jalan luar bandar.

“Pada 2023 sahaja, antara peruntukan yang dikurangkan untuk menampung jalan luar bandar ialah KEMAS, JAKOA, bekalan elektrik luar bandar dan bekalan air luar bandar. Itulah akibat apabila kementerian berbelanja melebihi bajet. Ia bukan arahan MOF,” katanya.

Iman Haziq berkata, isu berkenaan perlu dijelaskan secara bertanggungjawab sebelum dibawa ke pentas kempen pilihan raya di Melaka.

“Saya bersetuju jalan luar bandar perlu dibina dan kontraktor mesti dibayar. Namun, setiap perkara ada had, termasuk perbelanjaan.

“Sebab itu kita mempunyai bajet yang dibentangkan Perdana Menteri setiap tahun. Jika sesebuah kementerian sudah terlebih komitmen berbelanja, inilah akibatnya.

“Jangan tiba-tiba menggunakan kesilapan sendiri sebagai isu kempen pilihan raya sambil menolak kebenaran dan fakta. Sebelum membawa perkara ini ke Melaka, saya cadangkan SUA KKDW merujuk Hansard terlebih dahulu,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here