PM luang masa bersama pemegang Tiket MADANI MotoGP, hargai peniaga tempatan

DATUK Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu pemegang Tiket MADANI MotoGP di K2 Hillstand, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini bagi berkongsi keterujaan mereka menyaksikan perlumbaan berprestij itu.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, beliau turut mengambil kesempatan bertanya khabar peminat yang hadir serta melihat sendiri kemeriahan suasana di kawasan berkenaan.

Beliau turut menyambut baik penglibatan 30 peniaga tempatan yang mengambil peluang menjual pelbagai juadah kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Seronok melihat sambutan para peminat yang turut mengambil kesempatan menikmati pelbagai juadah daripada 30 peniaga tempatan yang berniaga di sini.

“Selain menambah kemeriahan suasana MotoGP, inisiatif ini juga memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk memperkenalkan jualan mereka kepada lebih ramai pengunjung,” katanya.

Inisiatif Tiket MADANI diperkenalkan bagi membuka peluang kepada lebih ramai rakyat menikmati pengalaman menyaksikan perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang, selain memperluas akses kepada acara sukan permotoran bertaraf antarabangsa.

Penganjuran aktiviti sokongan di kawasan litar turut memberi ruang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan menerusi kehadiran pengunjung, sekali gus menghubungkan acara sukan berskala besar dengan peluang ekonomi komuniti setempat.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Dalam hantaran sama, Anwar merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta semua pihak yang terbabit menjayakan inisiatif berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here