TAYAR sebuah lori membawa muatan tar dipercayai pecah sebelum menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan dan menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), mengakibatkan pasangan suami isteri maut di Kilometer 8.5, Jalan Yong Peng-Muar berhampiran Parit Yaani di Batu Pahat tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati lori terbabit yang datang dari arah bertentangan dipercayai terbabas selepas mengalami masalah tayar sebelum menghempap MPV berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, pemandu MPV, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Menurutnya, Mohd Hardi mengalami kecederaan di kepala dan kedua-dua tangan selain melecur pada beberapa bahagian badan, manakala isterinya parah di kepala serta organ dalaman dan turut mengalami kecederaan melecur.
“Dua lagi penumpang MPV, iaitu kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang juga anak angkat pasangan terbabit serta anak kandung lelaki berusia lapan tahun, mengalami luka dan melecur di kaki selain cedera di kepala.
“Kedua-dua kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketika kejadian, MPV berkenaan dalam perjalanan dari arah Yong Peng menghala ke Parit Sulong sebelum dirempuh lori yang datang dari arah bertentangan.
Shahrulanuar berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi polis atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





