SEORANG remaja perempuan berusia 18 tahun cedera selepas dipercayai mengalami serangan sawan sebelum terjatuh dari tingkat dua sebuah flat di kawasan Tampoi di Johor Bahru tengah hari tadi.
Mangsa ditemukan terbaring di kaki lima bangunan berkenaan dalam keadaan masih sedar selepas kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami serangan sawan ketika menjenguk ke bawah dari tembok tangga sebelum hilang kawalan lalu terjatuh.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang kepala, leher, pergelangan tangan kiri serta kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan masih berada dalam pemantauan pihak perubatan.
Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti empat saksi untuk dirakam percakapan mereka bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu.
Dalam pada itu, Azrol menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi talian 07-556 3122.





