Kes kematian Noorizwan: Polis siasat dakwaan doktor forensik diganggu peguam

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan beberapa peguam mengganggu seorang doktor pakar forensik yang terlibat dalam kes kematian tahanan, Allahyarham Noorizwan Zulkefly.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya telah menerima laporan polis daripada doktor berkenaan dan dakwaan itu kini disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 186 serta Seksyen 189 Kanun Keseksaan.

“Doktor berkenaan merupakan seorang penjawat awam dan laporan polis telah diterima daripada beliau. Siasatan masih berjalan dan pihak polis sedang merakam keterangan pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, setakat ini polis telah mengambil keterangan doktor terbabit serta tiga peguam yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan, manakala keterangan ahli keluarga Noorizwan masih dalam proses diambil.

Dalam perkembangan berkaitan siasatan kematian Noorizwan, Kumar berkata, kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Rabu ini untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, beliau memaklumkan siasatan kes kematian tahanan berkenaan telah diambil alih Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan.

Pengelasan itu dibuat susulan rakaman percakapan Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang mendapati terdapat kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh mangsa.

Corak kecederaan berkenaan didapati konsisten dengan trauma tumpul dan bukannya kecederaan akibat perbuatan sendiri.

Bagaimanapun, laporan lengkap bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian masih belum diperoleh, dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklumat lanjut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here