Dakwaan rasuah RM350,000: Polis buka dua kertas siasatan berasingan

POLIS membuka dua kertas siasatan berasingan susulan dakwaan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima wang berjumlah RM350,000 daripada seorang individu pada November 2017.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan berkenaan yang tersebar di beberapa platform media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut beliau, siasatan pertama dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, membabitkan dakwaan pegawai kanan berkenaan menerima wang daripada seorang individu pada 13 November 2017.

Katanya, peruntukan itu berkaitan kesalahan penjawat awam memperoleh barang berharga tanpa balasan daripada individu yang mempunyai kaitan dengan urusan rasmi atau perkara yang dikendalikan oleh penjawat awam berkenaan.

Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, satu lagi kertas siasatan dibuka bagi meneliti kemungkinan berlakunya kesalahan fitnah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian komunikasi berhubung penyebaran dakwaan berkenaan.

Kumar memberitahu, siasatan kedua itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 500 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Sementara itu, Seksyen 233 memperuntukkan denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) daripada Pendakwa Raya mengikut Seksyen 108(2) Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan tindakan siasatan lanjut dilaksanakan.

“Permohonan itu akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, termasuk merakam percakapan saksi serta mendapatkan pengesahan mengenai status siasatan terdahulu yang dijalankan oleh SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, kedua-dua siasatan itu dikendalikan secara berasingan, dengan satu memberi tumpuan kepada dakwaan terhadap pegawai kanan SPRM, manakala satu lagi berkaitan hantaran media sosial yang didakwa berunsur fitnah.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu dan mengingatkan pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab ketika menyebarkan maklumat mengenai kes yang masih dalam siasatan.

Dakwaan berhubung wang berjumlah RM350,000 itu menjadi perhatian selepas tersebar di media sosial sejak kebelakangan ini.

Pada 9 Oktober lalu, pertubuhan pemantau rasuah, Malaysia Corruption Watch (MCW) menggesa penubuhan pasukan siasatan khas bagi meneliti dakwaan berkenaan.

MCW turut menggesa kepemimpinan SPRM dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mengambil tindakan segera serta memberikan penjelasan mengenai status siasatan berkaitan isu itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here