KEPUTUSAN syarikat Media Mulia Sdn Bhd melaksanakan Program Cuti Berbayar terhadap hampir 100 pekerjanya tidak seharusnya dilihat sebagai langkah pengurusan sumber manusia semata-mata, sebaliknya mencerminkan kegagalan industri media legasi menyesuaikan struktur perniagaan dengan perubahan landskap digital.
Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Prof Dr Abdul Rauf Ridzuan berkata, langkah itu menggambarkan tekanan yang semakin menghimpit model perniagaan akhbar bercetak, khususnya berikutan kos operasi yang tinggi dan perubahan corak pengiklanan.

Menurutnya, pelaksanaan cuti berbayar itu lebih menyerupai strategi menangguhkan krisis berbanding penyelesaian jangka panjang terhadap masalah struktur yang dihadapi syarikat media.
“Dari perspektif ekonomi politik media, saya melihat langkah ini bukanlah satu bentuk ehsan korporat, sebaliknya strategi penangguhan krisis yang defensif akibat kelumpuhan model perniagaan cetak tradisional,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Media Mulia Sdn Bhd hari ini dilaporkan sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat melibatkan pelaksanaan Program Cuti Berbayar ke atas hampir 100 pekerjanya.
Menurut Ketua Pegawai Kewangan syarikat itu, Abd Wahid Idris, langkah rasionalisasi itu diambil bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan susulan perubahan landskap industri media yang kini memberi tumpuan kepada platform digital.
Abdul Rauf berkata, pemberian gaji penuh sepanjang tempoh cuti juga tidak semestinya menjamin kebajikan pekerja sekiranya tiada kepastian mengenai tempoh pelaksanaan, kedudukan dan peranan mereka selepas itu.
Katanya, kebajikan pekerja bukan sekadar diukur melalui pendapatan bulanan, malah turut melibatkan kestabilan emosi, maruah profesional serta jaminan terhadap kelangsungan kerjaya.
“Menempatkan pengamal media dalam keadaan ‘hibernasi berbayar’ tanpa garis masa atau jaminan peranan yang jelas hanya mencetuskan kegelisahan, melemahkan fungsi bilik berita dan mempercepatkan pengaliran keluar bakat kewartawanan berkualiti,” katanya.
Mengulas punca tekanan yang dihadapi penerbit berita tempatan, Abdul Rauf berkata, perubahan industri akibat penguasaan platform digital global turut memberi kesan besar terhadap keupayaan media tradisional menjana pendapatan.
Beliau berpandangan, dominasi syarikat teknologi antarabangsa seperti Google dan Meta dalam pasaran pengiklanan digital telah mengecilkan ruang pendapatan penerbit tempatan, sekali gus menyukarkan mereka menampung kos menghasilkan kandungan kewartawanan berkualiti.
Katanya, kegagalan membangunkan model langganan digital yang kukuh serta kebergantungan kepada penajaan korporat seperti sebelum ini turut menyumbang kepada tekanan berpanjangan terhadap institusi media bercetak.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa pekerja media berdepan risiko kerentanan pekerjaan sekiranya proses penstrukturan semula akhirnya membawa kepada penamatan perkhidmatan atau pengecilan operasi secara kekal.
“Jika langkah cuti ini akhirnya disusuli skim penamatan atau pengecilan operasi kekal, saya amat khuatir mengenai kemampuan majikan melunaskan liabiliti pampasan mengikut lunas undang-undang buruh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu berhati-hati dalam mempertimbangkan sebarang bentuk campur tangan, khususnya dengan membezakan antara usaha menyelamatkan syarikat komersial dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan awam dalam kewartawanan.
Katanya, suntikan dana awam secara langsung kepada syarikat swasta yang berdepan masalah bukanlah pendekatan terbaik kerana ia boleh membebankan wang rakyat selain berisiko menjejaskan autonomi editorial media.
Sebaliknya, beliau berkata, kementerian berkaitan perlu memastikan hak pekerja dipatuhi, memantau proses penstrukturan supaya dilaksanakan secara adil serta mengaktifkan jaringan keselamatan sosial termasuk Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
“Selagi padang permainan ekonomi digital ini tidak disamaratakan melalui dasar negara, sebarang bentuk bantuan sementara tidak akan menyelesaikan akar masalah dan pekerja media akan terus menjadi mangsa kitaran krisis yang berulang,” katanya.





