Kerajaan MADANI setuju tambah baik kemajuan kerjaya pegawai kanan ATM

KERAJAAN MADANI bersetuju melaksanakan penambahbaikan dalam aspek kemajuan kerjaya pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pengiktirafan terhadap tanggungjawab besar mereka mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi ATM yang dipengerusikannya bagi membincangkan keperluan memperkukuh keupayaan pertahanan negara.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Menurutnya, perbincangan itu turut mengambil kira landskap keselamatan dan geostrategik dunia yang semakin kompleks serta mencabar.

“Kerajaan MADANI telah bersetuju melaksanakan penambahbaikan dalam aspek kemajuan kerjaya pegawai kanan ATM sebagai pengiktirafan terhadap amanah dan tanggungjawab besar yang digalas dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, pertemuan itu turut memberi ruang kepada kerajaan meneliti tahap kesiapsiagaan setiap ketumbukan, selain keperluan perolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan.

Katanya, penelitian berkenaan penting bagi memastikan keupayaan operasi ATM sentiasa berada pada tahap terbaik dalam menghadapi sebarang cabaran keselamatan.

Beliau turut menghargai pandangan dan maklum balas secara langsung daripada kepimpinan tertinggi ATM kerana setiap dasar serta keputusan kerajaan perlu mengambil kira keperluan sebenar di lapangan.

“Setiap dasar dan keputusan kerajaan mesti berpaksikan keperluan sebenar di lapangan, bukan sekadar pertimbangan di atas kertas,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memberikan perhatian sewajarnya terhadap keperluan dan kebajikan warga ATM yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan keamanan negara.

Menurutnya, tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keamanan tanah air bukan hanya terletak pada pasukan keselamatan, sebaliknya merupakan amanah bersama seluruh rakyat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here