Pemandu lori dibayar upah RM900 hantar beras disyaki seludup ke Rawang

SEORANG pemandu lori mendakwa menerima upah RM900 bagi setiap perjalanan untuk menghantar beras putih yang disyaki diseludup dari negara jiran ke Rawang, Selangor.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas lori dipandunya membawa muatan 8,000 kilogram (kg) beras putih ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi dilaksanakan Batalion 7 PGA dengan bantuan Pihak Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan di Lebuhraya Timur-Barat, dari arah Panglima Bayu menghala ke Tanah Merah.

“Pemeriksaan terhadap lori jenis Isuzu yang dikesan dalam keadaan mencurigakan itu menemukan beberapa guni jumbo mengandungi 8,000kg beras putih di bahagian belakang kenderaan.

“Pemandu lori gagal mengemukakan dokumen sah berhubung pemilikan beras itu. Susulan itu, pemandu ditahan dan lori bersama muatannya dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki itu memaklumkan baru pertama kali terbabit dalam aktiviti penghantaran beras yang disyaki diseludup berkenaan.

Katanya, pemandu terbabit turut mendakwa menerima bayaran RM900 bagi setiap perjalanan yang akan dibuat menerusi pindahan wang selepas penghantaran selesai.

“Bekalan itu sepatutnya dihantar ke Rawang, Selangor, manakala barangan rampasan dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram di sekitar Lalang Pepuyu, Rantau Panjang,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, rampasan itu membabitkan 8,000kg beras putih bernilai RM32,000, manakala lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM150,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM182,000.

Katanya, semua barang rampasan diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negara negeri Kelantan untuk siasatan mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here