DUA sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan cuba menyamun tiga beg berisi barang kemas bernilai RM8.2 juta milik seorang pembekal, bulan lalu.
Tertuduh, jurujual Tan Kah Seng, 35, dan mekanik Tan Chien Ann, 30, didakwa bersama-sama cuba merompak barang kemas pelbagai jenis dan bentuk menggunakan sebilah parang.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah hotel di Brickfields pada jam 10 pagi 14 Oktober lalu melibatkan barang kemas berkenaan milik Toung Zheng Fay, 30.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 393 memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, manakala Seksyen 397 membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, lapor Bernama.
Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin selain membabitkan nilai barang kemas yang tinggi.
Bagaimanapun, peguam Revin Kumar yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tanggungan keluarga.
Menurutnya, Kah Seng yang sudah berkahwin menanggung isteri, seorang anak berusia lapan tahun serta ibu bapanya yang mempunyai masalah kesihatan termasuk diabetes dan tekanan darah tinggi.
“Chien Ann pula telah bercerai dan berpendapatan RM2,000 sebulan menanggung seorang anak lelaki berusia sembilan tahun serta ibu bapa. Kedua-dua tertuduh juga akan mematuhi syarat-syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah sekiranya ada,” katanya.
Hakim Noor Aini Yusof membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman masing-masing sebulan sekali sehingga kes selesai dibicarakan.
Mereka juga dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes.





