Dua maut, seorang parah Alza bertembung bas persiaran

DUA maut manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan bas persiaran di Jalan Raya Timur Barat, selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa di Gerik petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, kedua-dua mangsa yang maut ialah lelaki berusia 64 tahun yang memandu MPV berkenaan dan wanita berusia 58 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan.

Seorang lagi mangsa lelaki berusia 28 tahun yang berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ketiga-tiga mangsa yang juga warga tempatan ditemukan tersepit di dalam kenderaan itu ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 petang sebelum jentera tiba di tempat kejadian pada jam 2.50 petang.

“Ketua operasi melakukan penilaian situasi sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan menyelamat.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dua mangsa yang berada di bahagian hadapan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah kemudian dihantar ke Hospital Gerik menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu bas, dua pembantu serta 30 penumpang kenderaan itu dilaporkan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat membabitkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik serta BBP Jeli dengan bantuan enam anggota polis dan dua anggota KKM.

Operasi dikawal pada jam 3 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here