Kerjasama UMNO-Pas: Penyatuan ummah atau mahu menangkan tuan rumah?

PENULIS sama sekali tidak mempertikaikan kesungguhan Presiden UMNO  Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki yang nampak begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu memastikan kerjasama parti itu dengan Pas berjaya.

Itulah adalah fakta tiada siapa pun boleh dapat menafikannya jika melihat kenyataan kedua-dua pemimpin itu dan gerak kerja oleh Asyraf Wajdi. Namun di peringkat akar umbi kerjasama yang diharapkan masih belum ternampak dengan jelas.

Dalam perbualan penulis dengan beberapa penyokong Pas mahupun UMNO, mereka dilihat masih keberatan untuk menyokong antara satu sama lain. Seorang penyokong Pas memberitahu, ‘’saya tengah dok fikir lagi nak undi atau tidak BN…sebab dah berpuluh-puluh tahun tak pernah undi parti lain.’’

Seorang lagi penyokong Pas yang menjadi jentera pilihan raya parti itu berkata, dia belum buat keputusan sama ada hendak membuat memacak bendera BN atau tidak.

Tidak dapat dinafikan dari segi gerak kerja memacak bendera dan atur gerak jentera, Pas dianggap antara parti paling teratur. Ahlinya bergerak tanpa menunggu arahan apatah lagi upahan. Semangat inilah yang sering menjadi ‘alat’ kepada komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Di Melaka, Pas dan UMNO bekerjasama…penulis tidak menafikan UMNO juga ada jentera yang baik. Tetapi apa yang lebih penting  sejauh manakah kesepakatan itu diterima oleh akar umbi? Sejauh manakah permuafakatan itu diakui oleh semua pemimpin-pemimpin kanan UMNO?

Meneliti kenyataan beberapa pemimpin tersebut ternyata sekali ada di antara mereka amat keberatan menerima kerjasama dengan Pas di Melaka. Atas sebab itulah apabila membuat kenyataan tidak ada sepatah perkataan pun menyebut PN atau Pas. Mereka mahu membuktikan Melaka adalah kubu UMNO…kalau Pas tak tolongpun tak apa.

Apa yang terlafaz dari mulut mereka ialah keyakinan BN untuk mencapai kejayaan di Melaka, rekod BN cemerlang di Melaka dan puji-pujian lain. Tidak ada yang mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada PN yang seolah-olah terperdaya ‘’dengan janji manismu’ apabila dijanjikan tujuh kerusi akhirnya hanya mendapat lima kerusi.

Tahukah betapa kecewanya penyokong-penyokong Pas apabila menjadi bahan ketawa dalam media sosial seolah-olah Pas kemaruk sangat mahu bekerjasama dengan UMNO sehingga diberikan lima kerusipun diterima sedangkan BN khususnya UMNO awal-awal lagi mempertahankan  21 kerusi yang dimenangi.

Paling perit ‘hujung-hujung’ kerusi yang sepatutnya diberikan kepada PN contohnya Sungai Udang turut diambil oleh BN. Walaupun ia diganti dengan kerusi Paya Rumput tetapi kenapa prinsip ‘mempertahankan kerusi dimenangi’ tidak dilaksanakan di Sungai Udang?

Justeru timbul persoalan, adakah kerjasama yang diwujudkan benar-benar demi penyatuan ummah atau mahu memastikan kemenangan untuk ‘tuan rumah’? Dan adakah ia taktikal UMNO untuk mengelakkan undi Melayu berpecah sehingga boleh meletakkan kedudukan selesa mereka berubah menjadi sengsara?

Disebabkan tindakan UMNO itulah, sebelum penamaan calon, wujudnya desakan dalam kalangan akar umbi Pas yang mahukan parti itu bertanding secara solo. Ramai membuat jangkaan jika Pas berbuat demikian, parti itu boleh menang antara tujuh hingga sembilan kerusi.  Bagaimanapun pimpinan Pas tetap juga setia mahu menjalin kerjasama dengan UMNO.

Mungkin mereka tidak ada pilihan memandangkan sebelum ini sudah berkobar-kobar mahu membawa semangat kerjasama di Johor dan Negeri Sembilan ke Melaka atau mungkin juga bak dialog P.Ramlee dalam filem Tiga Abdul ‘’Tak apalah Tuan Saddiq Segaraga…hari ini hari kau esok hari aku pula’’  – apa maksudnya tunggu pilihanraya di SG4..



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here