Kerajaan Melaka perlu telus,audit  projek bermasalah di Melaka

KERAJAAN Negeri Melaka perlu memberikan penjelasan secara telus dan menyeluruh berhubung status tujuh projek pembangunan yang dilaporkan bermasalah di Melaka bagi memastikan penggunaan wang awam dapat dipertanggungjawabkan.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Razali berkata, isu berkenaan perlu diberikan perhatian serius kerana projek pembangunan bukan sekadar dinilai berdasarkan nilai pelaburan atau kemajuan fizikal, sebaliknya sejauh mana ia mampu menjana aktiviti ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan meberikan manfaat kepada masyarakat.

‘’Kerajaan negeri perlu membezakan antara projek yang benar-benar terbengkalai, mengalami kelewatan, tidak beroperasi secara optimum atau masih berada pada peringkat cadangan kerana setiap keadaan mempunyai implikasi kewangan berbeza,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.

Beliau mengulas laporan tulas yang memaparkan terdapat sekurang-kurangnya tujuh projek sakit di Melaka.

Mengulas lanjut Dr.Muhammad Najib berkata, projek yang gagal dimanfaatkan boleh menyebabkan pembaziran sumber, kemerosotan nilai aset, peningkatan kos penyelenggaraan serta kehilangan potensi pendapatan dan peluang ekonomi.

“Dalam konteks Melaka yang mempunyai kepentingan besar dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan hartanah, setiap projek perlu dinilai berdasarkan keperluan semasa, potensi permintaan dan manfaat jangka panjang.

“Kejayaan pembangunan bukan diukur berdasarkan berapa banyak projek diumumkan atau berapa besar nilai pelaburannya, tetapi sejauh mana projek tersebut benar-benar berfungsi dan memberikan pulangan ekonomi serta sosial kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, antara projek yang memerlukan penilaian semula ialah Monorel Melaka yang perlu dinilai berdasarkan jumlah pengguna, kos operasi dan sumbangannya kepada sektor pelancongan.

‘’Pembangunan berskala besar seperti Melaka Gateway pula perlu diteliti dari sudut kemampuan pembiayaan, permintaan pasaran dan daya maju pelaburan bagi memastikan pembangunan yang dirancang tidak menjadi beban kewangan pada masa hadapan,’’ katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga wajar mengambil pengajaran daripada transformasi bandar Bilbao di Sepanyol yang berjaya mengubah kawasan perindustrian lama menjadi pusat ekonomi pelancongan dan kebudayaan melalui pembangunan bersepadu.

‘’Kejayaan tersebut membuktikan pembangunan fizikal perlu disokong oleh perancangan ekonomi menyeluruh, termasuk pengangkutan, ruang awam dan infrastruktur sokongan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Dr.Muhammad Najin menegaskan, kerajaan negeri perlu menjelaskan objektif asal setiap projek, struktur pembiayaan, jumlah perbelanjaan sebenar, kemajuan fizikal, punca kelewatan dan tindakan pemulihan yang dirancang.

Beliau berkata, nilai pembangunan yang diumumkan tidak semestinya menggambarkan jumlah sebenar wang awam yang telah dibelanjakan.

“Perlu ada perbezaan jelas antara nilai keseluruhan pembangunan, peruntukan yang diluluskan, nilai kontrak, perbelanjaan sebenar dan kerugian yang telah disahkan. Rakyat berhak mengetahui bagaimana sumber kewangan digunakan dan sama ada pelaburan yang dibuat memberikan manfaat seperti yang dirancang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri menyediakan laporan status projek pembangunan strategik yang dikemas kini secara berkala dan boleh diakses masyarakat, dengan mengambil kira keperluan kerahsiaan komersial yang sah.’’

Laporan tersebut perlu membezakan perbelanjaan yang telah dibuat, komitmen kewangan tertunggak dan kos tambahan yang mungkin diperlukan untuk memulihkan projek,’’ katanya.

Beliau turut menegaskan prinsip akauntabiliti perlu menjadi asas utama dalam pengurusan projek pembangunan, khususnya yang melibatkan peruntukan kerajaan, tanah awam atau pelaburan syarikat berkaitan kerajaan.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab dalam perancangan, kelulusan, pembiayaan dan pelaksanaan projek perlu memberikan penjelasan mengenai keputusan yang dibuat serta faktor yang menyebabkan projek gagal mencapai sasaran asal.

Bagaimanapun, katanya, kegagalan projek tidak boleh terus dikaitkan dengan penyelewengan atau salah laku kerana terdapat juga projek yang berdepan masalah akibat perubahan ekonomi, peningkatan kos pembinaan, kekurangan pembiayaan atau perubahan permintaan pasaran.

“Penilaian bebas perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti sama ada kegagalan berpunca daripada kelemahan kajian kebolehlaksanaan, ketidakcekapan pengurusan, masalah kontraktor atau faktor luaran.

“Sekiranya terdapat bukti kecuaian, pelanggaran kontrak atau salah laku, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu mempertimbangkan penstrukturan semula projek yang masih mempunyai potensi ekonomi bagi mengelakkan aset sedia ada terus terbiar.

Sebagai contoh, Planetarium Melaka boleh dinilai semula untuk digunakan sebagai pusat pendidikan sains, teknologi digital atau pembelajaran interaktif sekiranya fungsi asalnya tidak lagi berdaya maju.

Kompleks Sukan Mini Bemban pula katanya boleh dinilai berdasarkan keperluan masyarakat serta kos yang diperlukan untuk menyiapkannya.

Menurutnya, pendekatan penggunaan semula aset atau adaptive reuse mampu mengoptimumkan nilai pelaburan sedia ada tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pembangunan baharu.

Bagi memastikan tindakan susulan lebih berkesan, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri memperkenalkan Pelan Tindakan 100 Hari Penilaian Projek Bermasalah Melaka.

Katanya, Pelan tersebut merangkumi pengesahan status dan perbelanjaan dalam 30 hari pertama, penilaian teknikal serta kebolehlaksanaan dalam 30 hari berikutnya, sebelum keputusan dan pelan pemulihan disediakan dalam baki tempoh berkenaan.

Beliau berkata, tempoh itu bertujuan menghasilkan penilaian awal dan pelan tindakan, bukannya menjamin semua projek dapat disiapkan dalam tempoh 100 hari.

“Kerajaan tidak seharusnya meneruskan sesuatu projek hanya kerana sejumlah besar wang telah dibelanjakan sebelum ini.

“Setiap keputusan perlu berdasarkan daya maju semasa, manfaat masa hadapan dan kepentingan rakyat. Melaka bukan sekadar memerlukan lebih banyak projek pembangunan, tetapi projek yang benar-benar berfungsi, diurus dengan cekap dan memberikan manfaat ekonomi serta sosial secara berterusan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here