MAHKAMAH Rayuan hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki yang berusia 14 tahun ketika merogol anak saudaranya sehingga hamil, ditempatkan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun.
Perintah itu dibuat selepas panel tiga hakim membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 13 Disember 2024 yang mengekalkan hukuman khidmat masyarakat terhadap responden, yang kini berusia 19 tahun.
Panel diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy sebulat suara memutuskan hukuman terdahulu tidak memadai mengambil kira keseriusan kesalahan berkenaan.
Hakim Hayatul Akmal yang membacakan keputusan berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengekalkan perintah khidmat masyarakat yang dikenakan Mahkamah Majistret Kangar pada 21 Februari 2024.
Menerusi perintah itu, responden sebelum ini dikehendaki menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan, selain berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama dua tahun.
Beliau berkata, mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun, manakala responden berusia 14 tahun, menjadi mangsa perbuatan berkenaan di rumah nenek mereka di Kuala Perlis antara jam 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi pada 14 Oktober 2021, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kejadian hanya terbongkar selepas ibu mangsa membawanya ke poliklinik pada 12 Mei 2022 kerana mendapati perut anaknya semakin membesar.
“Pemeriksaan mengesahkan mangsa mengandung lapan bulan ketika itu. Mangsa sendiri tidak mengetahui dirinya dirogol, malah tidak menyedari dia sedang mengandung.
“Siasatan kemudian mengenal pasti responden sebagai pelaku, manakala laporan kimia mengesahkan responden ialah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa,” katanya.
Hayatul Akmal berkata, keseriusan kesalahan itu perlu dinilai berdasarkan beberapa faktor, termasuk usia mangsa, hubungan kekeluargaan antara kedua-duanya serta kesan langsung perbuatan berkenaan, dan bukan semata-mata usia responden ketika kejadian.
Beliau berkata, bagi kes yang mempunyai faktor pemberat luar biasa, aspek pencegahan dan kepentingan awam perlu diberikan pertimbangan sewajarnya, selain mengambil kira pendidikan serta pemulihan pesalah kanak-kanak.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan responden ditempatkan di Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun mengikut Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001, berkuat kuasa hari ini.
Responden sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan dengan anak saudaranya ketika mangsa sedang tidur di rumah nenek mereka.





