TIGA pengarah Rehla Travel Services Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines Berhad dan Hijrah Biru Sdn Bhd bagi menuntut pemulangan RM544,400 yang didakwa masih belum dibayar semula susulan pembatalan penerbangan umrah ketika pandemik COVID-19.
Plaintif, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, 46; Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi, 33; dan Wan Azizul Wan Yusoff, 61, menamakan Malaysia Airlines serta Hijrah Biru sebagai defendan pertama dan kedua.
Melalui tindakan itu, mereka menuntut kedua-dua defendan membayar secara bersama atau berasingan baki RM544,400, bersamaan jumlah penalti Block Seat Charter (BSC), dalam tempoh tujuh hari selepas perintah mahkamah dikeluarkan.
Mereka turut memohon faedah lima peratus setahun ke atas jumlah berkenaan sehingga penyelesaian penuh, selain ganti rugi khas RM50,000 bagi kos peguam cara dan klien, ganti rugi am serta ganti rugi teladan yang akan ditaksirkan mahkamah.
Fathul Bari berkata, Rehla Travel sebelum ini membuat bayaran deposit RM1.5 juta kepada Malaysia Airlines melalui Hijrah Biru, selain pembelian tiket, menjadikan keseluruhan pembayaran kira-kira RM1.8 juta.
Bagaimanapun, selepas penerbangan dibatalkan susulan pandemik COVID-19, syarikat hanya menerima pemulangan kira-kira RM1.3 juta, manakala baki RM544,400 masih ditahan atas alasan penalti pembatalan.
Beliau berkata, keadaan ketika pandemik menyebabkan penerbangan tidak dapat diteruskan, malah tarikh baharu juga tidak dapat disahkan oleh kedua-dua pihak, lapor BH.
Menurutnya, syarikat tetap perlu menanggung komitmen operasi termasuk pembayaran gaji pekerja sepanjang tempoh berkenaan.
Fathul Bari mendakwa, berdasarkan terma pembatalan, penalti hanya dikenakan bagi pembatalan dalam tempoh kurang 30 hari, namun jumlah yang sepatutnya dikenakan tidak mencecah RM20,000.
Sehubungan itu, pihaknya berpendapat baki RM544,400 perlu dipulangkan sepenuhnya, namun Malaysia Airlines dan Hijrah Biru kekal dengan pendirian bahawa pembatalan berkenaan tertakluk kepada penalti.
Beliau berkata, tuntutan saman itu turut bertujuan mendapatkan semula wang bagi membolehkan Rehla Travel membayar RM492,480 kepada KRS Travel, yang sebelum ini memfailkan saman sivil terhadap syarikat berkenaan.
Katanya, sebahagian wang yang diterima semula sebelum ini telah digunakan untuk membuat pembayaran kepada pihak lain, manakala bayaran kepada KRS Travel masih perlu diselesaikan.
Dalam perkembangan sama, Fathul Bari memaklumkan peguam Malaysia Airlines telah memfailkan kehadiran dalam tindakan saman berkenaan.
Mahkamah menetapkan 26 November ini untuk syarikat penerbangan berkenaan memfailkan pembelaan.





