PERUBAHAN besar yang sedang melanda industri media menuntut pemilik dan pengurusan organisasi menilai semula strategi perniagaan masing-masing, namun usaha mempertahankan kelangsungan syarikat tidak seharusnya menjadikan pengurangan pekerja sebagai pilihan mudah setiap kali berhadapan masalah kewangan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr. Siti Zanariah Yusoff berkata, peralihan pembaca kepada platform digital, perubahan tabiat mendapatkan berita serta persaingan dalam pengiklanan telah mengubah landskap industri media secara menyeluruh.

Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan penstrukturan semula perlu mengambil kira kebajikan pekerja yang selama ini menjadi tunjang kepada kelangsungan organisasi media.
“Pihak pengurusan perlu menilai alternatif lain seperti latihan semula pekerja, penempatan semula ke bahagian digital atau penyusunan semula tugas mengikut keperluan semasa.
“Pekerja tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai kos operasi yang perlu dikurangkan apabila syarikat menghadapi masalah kewangan. Mereka juga merupakan aset yang mempunyai pengalaman, kemahiran dan kepakaran untuk membantu organisasi menghadapi perubahan,” katanya kepada utusanmelayuplus.
Semalam media melaporkan, hampir 100 kakitangan Media Mulia Sdn Bhd yang merupakan penerbit Utusan Malaysia dan Kosmo!, akan diletakkan dalam Program Cuti Berbayar.
Ia sebagai langkah rasionalisasi oleh Media Mulia yang sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan dalam menghadapi cabaran industri media.
Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd Wahid Idris, menjelaskan bahawa langkah terbabit diambil susulan perubahan landskap industri media yang lebih memberi tumpuan kepada platform digital.
Mengulas lanjut Dr.Siti Zanariah berkata, dalam konteks Utusan Malaysia, persoalan berkenaan menjadi lebih besar kerana ia bukan sekadar melibatkan sebuah syarikat penerbitan, tetapi juga institusi kewartawanan yang mempunyai sejarah panjang dalam perkembangan masyarakat Melayu.
Katanya, legasi yang dibina selama puluhan tahun tidak hanya terletak pada nama atau jenama, sebaliknya turut bergantung kepada pengalaman, kepakaran dan sumbangan tenaga kerja yang membentuk identiti organisasi itu.
Bagaimanapun, beliau berpandangan sejarah dan nama besar tidak menjamin kelangsungan sesebuah organisasi sekiranya gagal menyesuaikan diri dengan perubahan industri.
“Industri media hari ini jauh berbeza daripada sebelumnya. Pembaca mempunyai pelbagai pilihan untuk mendapatkan berita, manakala persaingan bukan lagi terbatas antara akhbar, tetapi melibatkan keseluruhan ekosistem digital yang berlumba-lumba mendapatkan perhatian masyarakat.
“Justeru, transformasi digital tidak boleh sekadar dilihat sebagai usaha memindahkan kandungan akhbar ke laman web atau media sosial. Ia memerlukan perubahan model perniagaan, pendekatan penghasilan kandungan serta strategi membina hubungan dengan pembaca, khususnya generasi muda,” katanya.
Dr. Siti Zanariah berkata, pemilik media perlu mempunyai strategi jangka panjang yang jelas bagi memastikan organisasi mampu bertahan dalam persekitaran industri yang semakin mencabar.
Pada masa sama, katanya, pembangunan kemahiran pekerja perlu diberikan perhatian supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan keperluan baharu kewartawanan.
Beliau berkata, pekerja media boleh dipersiapkan dengan kemahiran kewartawanan digital, pelaporan video, multimedia, analisis data serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan.
“Pendekatan ini bukan sahaja membuka peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran, malah membolehkan organisasi memanfaatkan kepakaran sedia ada bagi menghadapi persaingan. Wartawan dan kakitangan editorial mempunyai pengalaman serta jaringan sumber yang tidak boleh dibina dalam tempoh singkat. Semua ini merupakan aset penting kepada sesebuah organisasi media,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan komunikasi dalaman dalam menguruskan perubahan organisasi, khususnya ketika syarikat berhadapan tekanan kewangan atau krisis.
Menurutnya, pekerja perlu diberikan maklumat yang jelas mengenai kedudukan syarikat, sebab sesuatu perubahan dilaksanakan serta kesannya terhadap jawatan dan masa depan mereka.
Katanya, pekerja juga perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan, mendapatkan penjelasan dan terlibat dalam proses perbincangan sebelum keputusan yang memberi kesan besar kepada kehidupan mereka dilaksanakan.
“Jangan sampai pekerja mengetahui masa depan mereka melalui media sosial atau laporan berita sebelum pihak pengurusan sendiri memberikan penjelasan.
“Komunikasi sehala sahaja tidak mencukupi. Pihak pengurusan perlu membuka ruang untuk dialog dan rundingan dengan pekerja atau wakil mereka,” katanya.
Beliau berkata, rundingan bukan bermaksud pihak pengurusan perlu memenuhi semua tuntutan pekerja, sebaliknya merupakan proses mencari penyelesaian yang munasabah dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak.
Sebagai contoh, katanya, sekiranya berlaku penstrukturan semula, syarikat boleh mempertimbangkan penempatan semula, latihan semula atau skim pemisahan secara sukarela bagi mengurangkan kesan terhadap pekerja.
Bagaimanapun, jika pemberhentian tidak dapat dielakkan, beliau menegaskan syarikat perlu memastikan semua hak pekerja dipenuhi, termasuk pampasan dan faedah penamatan yang sewajarnya mengikut undang-undang serta kontrak pekerjaan.
“Tanggungjawab majikan bukan sekadar membayar pampasan. Cara pekerja dilayan sepanjang proses tersebut turut mencerminkan nilai dan integriti kepimpinan organisasi. Kebajikan pekerja bukan perkara sampingan dalam pengurusan organisasi. Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab majikan,” katanya.
“Mempertahankan legasi sesebuah akhbar tidak boleh dilakukan dengan mengabaikan orang yang membina legasi tersebut. Kelangsungan organisasi dan kebajikan pekerja perlu bergerak seiring dalam menghadapi masa depan industri media,” katanya.





