KERAJAAN negeri Melaka digesa tidak lepas tangan berhubung isu tujuh projek yang dilaporkan bermasalah, sebaliknya perlu menjelaskan status setiap projek serta mengambil tindakan bagi menangani kelemahan yang dikenal pasti.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Hakimin Mokhtar berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sekadar kesilapan pentadbiran terdahulu kerana kerajaan negeri tetap mempunyai tanggungjawab terhadap kepentingan rakyat.
Katanya, persoalan utama bukan mengenai siapa Ketua Menteri ketika projek berkenaan dimulakan, sebaliknya sejauh mana kerajaan negeri bertindak menyelesaikan masalah yang timbul.
“Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan status setiap projek, meneliti punca kegagalan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil.
“Jika projek-projek ini melibatkan wang rakyat, tanah negeri atau komitmen pelaburan yang besar, rakyat berhak mengetahui apa yang telah berlaku, siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana kerugian atau kesan terhadap negeri akan ditangani,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Antara tujuh projek yang menjadi perhatian adalah Monorel Melaka, Melaka Gateway, pembangunan Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ), Kompleks Sukan Mini Bemban, Jambatan Melaka-Indonesia, Arab City dan Planetarium Melaka.
Sebahagian projek berkenaan telah dirancang atau dimulakan sejak beberapa tahun lalu, namun berdepan pelbagai masalah pelaksanaan sehingga menimbulkan persoalan mengenai status kemajuan, perbelanjaan serta hala tuju pembangunannya.
Antaranya, Monorel Melaka yang dibangunkan dengan kos RM16.5 juta, manakala pembangunan Melaka Gateway pula dianggarkan bernilai RM43 bilion.
Hakimin turut membangkitkan keperluan kerajaan negeri memastikan isu berkenaan tidak terus menjadi polemik politik setiap kali berlaku pertukaran pentadbiran, sedangkan persoalan berkaitan projek terbabit masih belum terjawab.
Menurutnya, rakyat mahukan penjelasan dan akauntabiliti, selain tindakan konkrit bagi memastikan kepentingan negeri tidak terus terjejas.
“Kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan. Rakyat mahukan penjelasan, akauntabiliti dan tindakan, bukan sekadar alasan bahawa semuanya berlaku pada zaman pentadbiran terdahulu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab kerajaan negeri terhadap projek yang melibatkan kepentingan awam perlu dilaksanakan tanpa menjadikan perbezaan pentadbiran sebagai alasan untuk mengelak daripada memberikan penjelasan.





