Hakim tegur Da’i Syed, jangan guna populariti untuk ambil kesempatan

PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed dinasihatkan supaya tidak menggunakan populariti dan kedudukannya untuk mengambil kesempatan terhadap individu yang berada dalam keadaan terdesak.

Nasihat itu disampaikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azman Abdullah ketika membacakan keputusan majoriti 2-1 yang membebaskan Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, daripada tuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.

“Saya ada nasihat sikit untuk perayu (Syed Shah Iqmal), perbuatan mengambil kesempatan terhadap individu yang terganggu emosinya boleh mencemarkan nama baik golongan yang membawa imej agama.

“Nasihat saya ini bukan sahaja ditujukan kepada kamu, turut ditujukan kepada tenaga pengajar di institusi agama dan sekolah.

“Setiap hari kami menerima banyak kes membabitkan rogol, liwat dan sebagainya yang berlaku di pondok sekolah oleh tenaga pengajar, dan ia memberi imej yang buruk kepada masyarakat,” katanya.

Azman berkata, perbuatan mengambil kesempatan terhadap individu yang mengalami gangguan emosi boleh menjejaskan reputasi golongan yang membawa imej agama.

Da’i Syed yang berada di kandang tertuduh hanya mengangguk ketika hakim menyampaikan nasihat berkenaan.

Keputusan membebaskan pendakwah itu dibuat oleh Azman bersama Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, manakala Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menyatakan pendapat berbeza.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun ketika itu di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskannya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri.

Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah.

Syed Shah Iqmal kemudian menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 21 hari sebelum dibebaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sehingga rayuan akhirnya diputuskan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here