Pemandu warga Taiwan positif dadah didakwa rempuh anggota polis trafik

SEORANG pengurus pusat karaoke warga Taiwan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada anggota polis pengiring konvoi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Wei Fu-Chun, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta Mercedes-Benz di bawah pengaruh dadah sehingga tidak berkeupayaan mengawal kenderaan dengan baik selain menyebabkan kecederaan kepada Koperal Samsul Rahimi Sapari, 42.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 8.50 malam, 31 Oktober lalu di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, lapor BH.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda RM30,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh merupakan warga asing tanpa alamat tetap di Malaysia, selain maklumat penjamin yang dicadangkan tidak lengkap.

Mahkamah kemudian menolak permohonan jaminan dan menetapkan 6 Januari depan untuk penyerahan dokumen.

Dalam kejadian itu, Samsul Rahimi yang bertugas di Unit Motosikal Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan pulang selepas selesai mengiringi konvoi Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Tertuduh dipercayai merempuh motosikal yang ditunggang anggota polis berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan pada kaki dan tangan mangsa.

Dia kemudian cuba melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum berjaya ditahan seorang lagi anggota polis.

Media semalam melaporkan, polis mengesahkan pemandu warga Taiwan yang dipercayai merempuh anggota polis trafik di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur baru-baru ini, positif tiga jenis dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, ujian pernafasan mendapati suspek bebas daripada pengaruh alkohol dengan bacaan sifar miligram, tetapi saringan air kencing menunjukkan dia positif metamphetamine, ketamin dan amphetamine.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here