KELEWATAN pengadu membuat laporan polis selama 441 hari selepas kejadian antara faktor yang dipertimbangkan Mahkamah Rayuan Putrajaya sebelum mengetepikan sabitan rogol terhadap pendakwah selebriti, Da’i Syed.
Hakim Datuk Azman Abdullah berkata, mahkamah mendapati terdapat kekhilafan serius dan salah arah dalam dapatan mahkamah terdahulu sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Dalam penghakiman majoriti 2-1, beliau berkata, mahkamah turut meneliti kelakuan mangsa sebelum, semasa dan selepas kejadian, termasuk komunikasi antara wanita itu dengan perayu menerusi WhatsApp dan Instagram.
Katanya, pembelaan berhujah bahawa perayu tidak pernah menafikan berlaku hubungan seks dengan mangsa, namun menegaskan perbuatan itu dilakukan atas kerelaan wanita berkenaan.
Antara perkara dibangkitkan pembelaan ialah mangsa mempunyai beberapa peluang untuk meninggalkan perayu atau mendapatkan bantuan, termasuk ketika mereka makan di sebuah restoran selama kira-kira tiga jam.
Mangsa juga didakwa tidak membalas panggilan dan mesej daripada rakan serumahnya ketika berada di ruang tamu rumah perayu selama kira-kira 30 minit, ketika perayu membuat panggilan telefon.
Menurut Azman, pembelaan turut membangkitkan bahawa mangsa tidak menunjukkan usaha untuk melarikan diri, menjerit meminta bantuan atau mengalami kecederaan fizikal seperti lebam dan kesan kekasaran.
Sebaliknya, mangsa memilih untuk bermalam di rumah perayu sebelum pulang keesokan harinya menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab.
Mangsa juga didakwa menghantar mesej memaklumkan sudah selamat tiba kepada perayu selepas pulang.
Mahkamah turut meneliti rekod komunikasi antara September hingga Disember 2019 yang menunjukkan mangsa beberapa kali memulakan perbualan, mendapatkan perhatian perayu, memujinya dan mengajak lelaki itu berjumpa lagi.
Pembelaan berhujah laporan polis hanya dibuat pada 25 November 2020, iaitu 441 hari selepas kejadian, selepas komunikasi antara mereka semakin renggang dan isu berkenaan mula tular di media sosial.
Bagaimanapun, pendakwaan berhujah kelewatan itu sudah dijelaskan menerusi keterangan psikiatri, termasuk keadaan emosi mangsa yang mengalami trauma serta kesukaran memahami proses perundangan.
Azman berkata, mahkamah turut meneliti keadaan kesihatan mental mangsa yang mempunyai sejarah kemurungan dan pernah menerima rawatan psikiatri.
Mangsa sebelum ini disahkan mengalami gangguan kemurungan major dengan simptom keresahan serta diberikan ubat bagi merawat kemurungan dan menstabilkan emosinya.
Namun, mahkamah berpendapat faktor kemurungan atau kenaifan mangsa tidak boleh secara automatik digunakan untuk menafikan kerelaan dalam hubungan seks.
Beliau berkata, elemen utama kesalahan rogol ialah ketiadaan kerelaan mangsa, manakala isu yang perlu dibuktikan pendakwaan melampaui keraguan munasabah dalam kes itu adalah sama ada hubungan seks berkenaan berlaku tanpa kerelaan wanita terbabit.
“Selepas meneliti keseluruhan rekod rayuan serta hujahan bertulis kedua-dua belah pihak, mahkamah berpendapat pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya.
Sehubungan itu, mahkamah membenarkan rayuan Da’i Syed dan mengetepikan sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen dan disahkan Mahkamah Tinggi.
Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan berhubung kejadian di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.





