CSA: Pas buat itu persefahaman, jika orang lain buat itu penipuan…begitukah tuan guru?

KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sebagai pendekatan dajal pada akhir zaman mewujudkan tafsiran kecenderungan menggunakan sentimen keagamaan dalam pertikaian politik.

Tindakan itu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai kewajaran bahasa yang digunakan, malah memperlihatkan kelemahan dalam membina kritikan berasaskan fakta dan hujah yang rasional.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa CSA mencerminkan pendekatan dajal apabila kuasa digunakan untuk memaksa pihak tertentu terus menyokong kerajaan. Namun, persoalannya, apakah asas kukuh yang membolehkan sebuah perjanjian politik dikaitkan dengan gambaran sedemikian?

Dalam demokrasi berparlimen, rundingan antara kerajaan dengan wakil rakyat bukan perkara luar biasa. Kerajaan memerlukan sokongan majoriti untuk memastikan pentadbiran berjalan lancar, manakala Ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.

CSA yang dimeterai pada 29 Oktober lalu melibatkan 13 Ahli Parlimen, termasuk enam wakil Bersatu dan beberapa Ahli Parlimen Bebas. Perjanjian itu antara lain menyentuh sokongan terhadap Belanjawan 2027, agenda reformasi institusi dan komitmen peruntukan pembangunan kawasan.

Jika Abdul Hadi berpendapat perjanjian itu mengandungi unsur penipuan, paksaan atau penyalahgunaan kuasa, beliau sepatutnya menjelaskan klausa yang dipertikaikan. Kemukakan bukti dan huraikan bagaimana kepentingan rakyat terjejas. Itulah tanggungjawab seorang pemimpin pembangkang, bukannya sekadar melemparkan istilah yang boleh membangkitkan ketakutan dan sentimen masyarakat.

Lebih menarik, pendirian Hadi perlu dinilai berdasarkan rekod politik Pas sendiri. Pada 2021, ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, satu Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai antara kerajaan dengan Pakatan Harapan.

Persefahaman itu turut mempunyai matlamat memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran kerajaan. Justeru, timbul persoalan mengapa mekanisme rundingan politik yang pernah diterima ketika Pas berada dalam kerajaan kini dikaitkan dengan pendekatan dajjal apabila dilaksanakan oleh pihak lain?

Adakah sesuatu persefahaman politik hanya dianggap wajar apabila menguntungkan kedudukan parti sendiri? Jika terdapat perbezaan antara kedua-dua perjanjian, Abdul Hadi perlu menjelaskannya secara terbuka supaya rakyat dapat membuat penilaian berdasarkan fakta, bukan persepsi.

Hakikatnya, Pas juga perlu memahami bahawa peruntukan pembangunan bukan hak eksklusif kawasan yang diwakili parti kerajaan. Rakyat yang memilih pembangkang tetap berhak mendapat kemudahan asas, pembangunan dan perhatian kerajaan. Oleh itu, sebarang usaha memastikan pengagihan peruntukan lebih adil sewajarnya dinilai berdasarkan manfaat kepada rakyat.

Pada masa sama, kerajaan tidak boleh menggunakan peruntukan sebagai alat membeli sokongan politik. Ketelusan, akauntabiliti dan pemantauan pelaksanaan perlu menjadi asas kepada setiap persetujuan. Inilah perkara yang sepatutnya diperjuangkan pembangkang sekiranya benar-benar mahu memastikan kepentingan rakyat terpelihara.

Penggunaan istilah dajal dalam pertikaian politik juga membawa risiko lebih besar apabila perbezaan pandangan mula digambarkan sebagai pertentangan antara kebaikan dengan kejahatan. Ia boleh menyukarkan masyarakat menerima perbezaan pendapat secara rasional, sedangkan demokrasi menuntut ruang perbahasan yang terbuka dan berasaskan fakta.

Sebagai pemimpin parti yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat Islam, Abdul Hadi sepatutnya lebih berhati-hati mengaitkan sesuatu keputusan politik dengan konsep keagamaan yang begitu sensitif. Agama seharusnya menjadi panduan menegakkan keadilan, amanah dan kebenaran, bukannya dilihat menjadi alat untuk memberikan gambaran buruk terhadap pihak yang mempunyai pendirian politik berbeza.

Abdul Hadi mempunyai hak untuk mengkritik CSA, tetapi hak itu datang bersama tanggungjawab mengemukakan hujah yang konsisten dan boleh dipertanggungjawabkan. Rakyat tidak memerlukan pemimpin yang sekadar bijak mencipta istilah keras untuk menyerang lawan, sebaliknya memerlukan pemimpin yang mampu menjelaskan persoalan dasar dan menawarkan penyelesaian.

Akhirnya, politik Malaysia tidak seharusnya terus dibebani pertelingkahan yang menggunakan agama sebagai senjata. Jika benar amanah dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan, setiap pihak perlu dinilai berdasarkan tindakan, rekod dan bukti.

Dalam demokrasi, label tidak boleh menggantikan hujah. Begitu juga agama tidak seharusnya dijadikan alat untuk menghukum lawan politik tanpa pembuktian yang jelas.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here