SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat berpangkat Datuk kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM1 juta kepada beberapa anggota lain-lain pangkat dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram.
Perintah reman selama empat hari bermula 2 hingga 5 November 2026 terhadap ketiga-tiga suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada 2 November lalu.
Kesemua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki (pemilik syarikat) dan dua orang wanita yang terdiri daripada seorang guru tuisyen dan seorang pegawai pemasaran berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah ditahan kira-kira jam 4 petang, 1 November 2026 di beberapa lokasi berasingan sekitar Putrajaya, Selangor, dan Johor.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2020 hingga kini.
Kesemua suspek dipercayai bertindak sebagai orang tengah dan memberikan wang rasuah kira-kira RM1 juta kepada beberapa orang anggota lain-lain pangkat dan pegawai polis sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram di sekitar negeri Pantai Timur dan Lembah Klang.
Melalui siasatan yang dijalankan, SPRM melalui Bahagian Perisikan dengan kerjasama PDRM telah mengeledah beberapa lokasi yang terdiri daripada premis pejabat dan kediaman suspek.
Dalam operasi tersebut SPRM telah menyita empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM600,000; empat unit telefon bimbit serta satu unit komputer riba.
Melalui operasi itu juga, SPRM turut membekukan 20 akaun bank persendirian serta sembilan akaun bank syarikat yang berjumlah kira-kira RM1.5 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.





