SEBANYAK 598 individu berprofil tinggi termasuk kenamaan berstatus VVIP, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikesan gagal menjelaskan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja domestik masing-masing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, jumlah itu sebahagian daripada 10,033 majikan pekerja domestik yang dikenal pasti belum memenuhi kewajipan mencarum berdasarkan semakan sehingga 1 November lalu.
Menurutnya, Perkeso turut mengesan 26,669 majikan mempunyai rekod tunggakan caruman yang memerlukan semakan serta tindakan susulan.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan dan pengaruh seseorang bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai majikan kerana undang-undang terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian.
“Kita tidak boleh bercakap mengenai kebajikan dan hak pekerja sekiranya tanggungjawab paling asas terhadap pekerja di rumah sendiri pun masih gagal kita tunaikan.
“Kepimpinan melalui teladan mesti bermula dengan pematuhan kepada undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Faedah Perkeso kepada waris mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal di ibu negara hari ini, lapor BH.
Sehubungan itu, Ramanan berkata, beliau sudah mengarahkan Perkeso supaya memperketat pemantauan dan penguatkuasaan, termasuk mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal memenuhi tanggungjawab berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pekerja domestik bukan hanya merujuk kepada pembantu rumah, malah turut merangkumi tukang kebun, pemandu, penjaga warga emas dan pengasuh.
Ditanya sama ada individu kenamaan yang dikenal pasti itu termasuk menteri, beliau berkata, jumlah terbabit turut melibatkan individu yang mempunyai kedudukan lebih tinggi.
“Lebih tinggi daripada menteri pun ada. Saya bukan nak mainkan isu ini, tetapi ini adalah hak pekerja,” katanya.
Ramanan berkata, semua majikan terbabit diberi tempoh sehingga 7 Disember ini untuk menjelaskan caruman sebelum senarai nama mereka didedahkan kepada umum.
“Saya hanya mahu mereka ini bayar caruman. Jadi 7 Disember ini adalah tarikh akhir, selepas ini kita akan laksanakan tindakan undang-undang.
“Ia akan dimulakan dengan kompaun, kemudian mereka boleh didenda RM10,000 atau dikenakan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.





