Sumbangan bayar denda RM50 juta Najib masih belum mencukupi – Asyraf Wajdi

KUTIPAN sumbangan awam bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melunaskan denda RM50 juta masih belum mencapai jumlah diperlukan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dakwaan kononnya Najib akan menjelaskan denda berkenaan hari ini adalah tidak benar.

Menurutnya, usaha mengumpulkan sumbangan masih diteruskan, namun beliau tidak mendedahkan jumlah terkini yang berjaya diperoleh.

“Masih tengah kumpulkan lagi. Belum cukup lagi. Maklumat itu (dakwaan Najib akan melunaskan denda RM50 juta, hari ini) tak betul,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Terdahulu, timbul dakwaan bahawa Najib akan membuat pembayaran denda berkenaan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan baki hukumannya dijalani di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Najib, 73, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menerusi mesyuarat ke-61 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Keputusan itu turut mempercepatkan tarikh pembebasannya kepada 23 Ogos 2028 berbanding 23 Ogos 2034 sebelum ini.

Sekiranya gagal membayar denda RM50 juta berkenaan, Najib perlu menjalani tambahan hukuman penjara selama setahun.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here