35 warga asing ditahan, sindiket ‘love scam’, pelaburan emas terbongkar

POLIS menumpaskan kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai menyasarkan wanita warga China menerusi modus operandi ‘love scam’ dan tawaran pelaburan emas selepas menahan 35 warga asing dalam serbuan di dua unit kediaman di Bayan Lepas, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, serbuan kira-kira jam 2.10 petang itu dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Barat Daya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 34 warga China, iaitu 33 lelaki dan seorang wanita, serta seorang lelaki warga Taiwan.

“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak September lalu dengan menyasarkan wanita warga China berusia antara 18 hingga 46 tahun melalui aplikasi Telegram.

“Mereka disyaki memperdaya mangsa menggunakan pendekatan hubungan romantik sebelum menawarkan pelaburan emas secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan di kedua-dua kediaman itu membawa kepada rampasan 119 telefon bimbit dan tiga komputer riba bersama pengecas yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

Tambahnya, nilai keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan RM60,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Anuwal turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berinteraksi dengan individu tidak dikenali menerusi media sosial, terutama mereka yang cuba membina hubungan peribadi sebelum memperkenalkan tawaran pelaburan dengan janji pulangan lumayan.

Beliau berkata, maklumat daripada orang ramai berhubung kegiatan penipuan dalam talian amat diperlukan bagi membantu polis membanteras jenayah komersial.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here