Abdul El-Sayed cipta sejarah, jadi senator Muslim pertama AS

CALON Demokrat berhaluan progresif, Abdul El-Sayed mencipta sejarah apabila menewaskan calon Republikan, Mike Rogers dalam perebutan kerusi Senat di Michigan, sekali gus bakal menjadi senator Muslim pertama Amerika Syarikat (AS).

Kemenangan itu memberi lonjakan kepada kumpulan progresif dalam Parti Demokrat, khususnya di Michigan yang merupakan antara negeri penentu dalam persaingan politik negara itu.

El-Sayed, 42, merupakan anak kepada pasangan imigran dari Mesir dan bekas pegawai kesihatan awam yang tidak pernah memegang sebarang jawatan pilihan raya sebelum ini.

Beliau berjaya menewaskan Rogers selepas kempen yang sengit, dengan membawa agenda penjagaan kesihatan sejagat, mengurangkan pengaruh dana luar dalam pilihan raya serta kritikan terhadap tindakan Israel.

Kemenangan itu turut mengukuhkan kedudukan gerakan progresif menjelang Pilihan Raya Presiden 2028, dengan pemimpin gerakan berkenaan melihat keputusan itu sebagai bukti agenda mereka mampu mendapat sokongan di negeri yang mempunyai persaingan politik sengit.

Menurut laporan Arab News yang memetik AP, kempen El-Sayed berdepan tentangan hebat termasuk perbelanjaan besar pihak luar serta serangan politik yang mempersoalkan pendirian dan kesetiaannya kepada AS.

Antara isu yang mencetuskan kontroversi adalah kritikan El-Sayed terhadap Israel, selain dakwaan beberapa pemimpin Republikan yang cuba mengaitkannya dengan kumpulan pengganas tanpa mengemukakan bukti.

Beliau juga berdepan cabaran menyatukan sokongan Demokrat selepas kempen pemilihan parti yang sengit menentang Ahli Dewan Perwakilan, Haley Stevens. Stevens kemudian mengejutkan parti itu apabila mengumumkan sokongan kepada Rogers pada 1 November lalu.

Dalam pemilihan parti pada Ogos lalu, El-Sayed berjaya mengatasi Stevens meskipun kempen berkenaan menyaksikan perbelanjaan pihak luar hampir AS$60 juta (RM244 juta) termasuk hampir AS$30 juta (RM122 juta) oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) untuk menentangnya.

El-Sayed turut menerima sokongan tokoh progresif termasuk Senator Bebas, Bernie Sanders dan Ahli Dewan Perwakilan, Alexandria Ocasio-Cortez, manakala bekas Presiden Barack Obama serta bekas Naib Presiden Kamala Harris membantu berkempen bagi meraih sokongan pengundi di Detroit.

Rogers, bekas anggota Kongres yang pernah tewas dalam perebutan kerusi Senat pada 2024, pula berdepan kesukaran mempertahankan sokongan terhadap Presiden Donald Trump ketika pengundi dibebani kenaikan harga bahan api, ketidaktentuan ekonomi akibat tarif serta perang dengan Iran.

Dalam satu kenyataan di media sosial pada September lalu, Rogers berkata: “Perang dengan Iran perlu ditamatkan, dan ditamatkan dengan segera,” ketika berdepan tekanan untuk mengimbangi sokongannya terhadap Trump dengan kebimbangan pengundi terhadap konflik berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here