SEORANG penunggang lelaki berusia lingkungan 40-an maut selepas digilis sebuah lori membawa muatan simen di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur petang ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Faizol Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem NG999 pada jam 4.23 petang.
Menurutnya, enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.34 petang dan mendapati penunggang motosikal terbabit digilis lori berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.





