SEORANG pemimpin Pas mengakui Perikatan Nasional (PN) berdepan cabaran mengetengahkan calon Perdana Menteri mampu menandingi pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata, gabungan itu perlu menampilkan tokoh mampu menjadi alternatif kepada Anwar yang menjadi figura utama kepada Pakatan Harapan (PH).
“Saya tidak boleh nafikan kita sedang berdepan dengan cabaran calon hendak hendak dikedepankan pada rakyat ini boleh menandingi PMX,” katanya ketika menjadi hos jemputan program audio siar Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Anwar mempunyai kelebihan dari segi penampilan dan pendekatannya terhadap anak muda termasuk ketika menghadiri acara awam.
Beliau mengambil contoh kehadiran Anwar dalam acara MotoGP di Sepang, minggu lalu, apabila Perdana Menteri itu dilihat duduk di atas rumput bersama golongan muda, yang disifatkannya sebagai pendekatan berkesan dari segi imej dan persepsi awam.
‘’Itu satu gimik dan optik yang cukup baik sebenarnya di hadapan kamera.”
Bagaimanapun, Fadhli berkata kelebihan imej itu tidak semestinya menjadi faktor penentu sokongan rakyat kerana pengundi akhirnya akan menilai keadaan ekonomi dan kesannya terhadap kehidupan mereka.
“Tapi saya yakin pada akhirnya rakyat ingin melihat apa yang mereka dapat. Apa yang masuk ke poket mereka,” katanya.
Terdahulu, Shahril berkata Anwar mempunyai kelebihan dari segi hubungan antarabangsa, kebolehan berkomunikasi dan imej kepimpinan, yang menurutnya belum dapat ditandingi sepenuhnya oleh tokoh alternatif daripada Barisan Nasional (BN) dan PN.
Shahril turut membangkitkan bagaimana prestasi ekonomi dan kemasukan pelaburan asing boleh diketengahkan sebagai pencapaian pentadbiran Anwar, sekali gus menyukarkan usaha kedua-dua gabungan itu mencabar naratif berkenaan.
Mengulas kenyataan Shahril berkait calon PM daripada PN atau BN, Fadhli berkata perkara itu belum dibincangkan.
“Tapi sudah pasti saya rasa BN mahukan Perdana Menteri daripada mereka,” katanya.





