‘’Kita minta mandat untuk buat sesuatu’’ – PM minta rakyat Melaka pilih PH

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Melaka memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk meneruskan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata ia bagi memastikan dasar dan usaha yang telah dimulakan, khususnya berkaitan keperluan rakyat, menangani kemiskinan, meningkatkan pendapatan serta memastikan anak-anak mendapat kemudahan persekolahan yang baik dapat diteruskan dengan berkesan.

“Yang ini bagi saya penting, yang kita sudah mulakan, bagi peluang saya teruskan. Jadi yang ini saya minta di Kelebang dan di Melaka keseluruhannya faham, kita minta mandat untuk berbuat sesuatu,” kata beliau ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi MADANI Negeri Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Bukit Rambai, Melaka hari ini.

Perdana Menteri turut menekankan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri juga amat penting bagi menyelaras dan memacu pertumbuhan ekonomi serta membantu menyelesaikan pelbagai masalah setempat.

“Saya bukan datang Melaka nak beri janji-janji palsu, tidak. Saya hendak katakan, kita kena ada kerajaan Persekutuan juga, dan kerjasama dengan negeri, yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi kita,” kata beliau.

Anwar berkata rakyat berhak menilai prestasi pentadbiran beliau berdasarkan pelaksanaan tanggungjawab dan hasil kerja yang dizahirkan oleh kerajaan.

“Sekarang, saya cakap pun sebagai kerajaan. Kalau saya tidak buat (menunaikan tanggungjawab), tuan-tuan boleh hukum saya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata pencapaian ekonomi yang bertambah baik tidak bermakna semua masalah rakyat telah selesai sepenuhnya memandangkan isu asas seperti bekalan air, elektrik, saliran, dan kemudahan sekolah masih memerlukan perhatian berterusan.

Beliau berkata usaha menjimatkan dana kerajaan membolehkan pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada rakyat di seluruh negara, termasuk dalam aspek pendidikan seperti peruntukan bagi sekolah dan komputer untuk menambah baik pengajaran pembelajaran.

“Pengurusan wang rakyat perlu disertai usaha menghentikan salah guna kuasa bagi menjamin masa depan negara,” kata beliau.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here