HUJAN lebat hampir tiga jam menyebabkan limpahan air dan banjir di beberapa kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor.
Rektor UiTM Cawangan Selangor Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman berkata hasil tinjauan mendapati aliran air terlalu tinggi akibat hujan lebat berterusan menyebabkan struktur konkrit longkang pecah dan air melimpah ke kawasan berhampiran.
“Bagaimanapun, kesemua 16 kolam tadahan air di dalam kampus didapati berfungsi dengan baik. Keadaan di kampus kini kembali normal,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerja-kerja pembaikan akan segera dilakukan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga kampus.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati keadaan banjir di kawasan itu terkawal dengan trend penurunan paras air yang semakin surut. Tiada mangsa dilaporkan dan tiada operasi pemindahan dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu, beberapa kawasan di kampus itu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat menyebabkan beberapa lokasi dinaiki air dan menjejaskan pergerakan kenderaan.
Keadaan itu dikongsikan beberapa pengguna media sosial menerusi aplikasi Threads yang memaparkan situasi banjir di sekitar kampus berkenaan.





