Anwar nasihat anak hargai ibu, pulang kampung sambut Deepavali

PESANAN supaya menghargai kasih sayang ibu selagi masih berpeluang menjadi mesej utama disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sebuah video sempena sambutan Deepavali.

Dalam video berdurasi dua minit 23 saat bersama pencipta kandungan, Devaraj David itu, Anwar mengingatkan orang ramai supaya tidak melepaskan peluang meluangkan masa bersama ibu bapa, khususnya ketika musim perayaan.

Video berkenaan memaparkan Devaraj yang berdepan masalah bateri kereta mati di tengah jalan sebelum menghubungi ibunya untuk memaklumkan alasan tidak mahu pulang ke kampung.

Pemuda itu memberitahu ibunya sering menghubunginya dan mengingatkan supaya pulang menyambut Deepavali, selain tidak putus-putus mendesaknya supaya berkahwin.

“Thalaivar (ketua), Amma saya sikit-sikit call (hubungi) saya, ‘Balik, balik, balik, balik! Kawin, kawin! Deepavali, Deepavali!'” katanya.

Bagaimanapun, perbualan bersahaja itu bertukar menjadi detik menyentuh perasaan apabila Anwar muncul dan bertanyakan punca pemuda berkenaan kelihatan marah.

Selepas mendengar penjelasan Devaraj, Perdana Menteri mengingatkannya bahawa desakan seorang ibu itu sebenarnya lahir daripada kasih sayang, selain menasihatkannya supaya menghargai peluang yang masih dimiliki.

“Dei tambi, Amma ini yang kasih, yang cinta dengan you (awak). You (awak) masih ada Amma, sayang dia. Saya sudah tak ada Amma.

“Tolong kasih peluk, sayang Amma. Deepavali ini ‘Light of The Lamp‘… balik rumah cium Amma, tunjuk kasih dan jadi anak baik. Jadi, pergi balik sekarang,” katanya.

Nasihat itu diterima baik Devaraj yang kemudian berjanji akan pulang ke rumah bagi meraikan Deepavali bersama ibunya.

“Okay, Thalaivare (ketua). Ini Deepavali, saya balik rumah, cium Amma, tunjuk kasih dan jadi anak yang baik,” katanya.

Mereka kemudian berjalan bersama-sama menuju ke kereta sambil berseloroh sebelum mengakhiri pertemuan dengan ucapan selamat menyambut Deepavali.

“Deepavali Nalvaazhthukkal,” kata Anwar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here