![]()
KERJASAMA politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berpotensi mencetuskan perubahan besar terhadap landskap politik negara, sekiranya permuafakatan itu berjaya diperkukuh dan diteruskan.
Timbalan Pengerusi PN Melaka, Zulkifli Ismail berkata, kesepakatan yang dimeterai secara rasmi pada 28 Oktober lalu bukan sekadar percaturan menghadapi pilihan raya atau usaha merebut kuasa, sebaliknya berasaskan keikhlasan untuk menyatukan ummah serta memperjuangkan kepentingan rakyat.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, parti itu memberikan komitmen penuh bagi memastikan kerjasama berkenaan berjalan lancar, termasuk menyelaraskan gerak kerja dan merealisasikan tawaran yang terkandung dalam manifesto bersama.
“Saya berkeyakinan permuafakatan dan penyatuan ini bukan sahaja akan membawa kebaikan besar kepada rakyat Melaka, bahkan juga membawa perubahan landskap politik negara secara menyeluruh, insya-Allah.
“Bagi Pas, kesediaan untuk bermuafakat demi kepentingan rakyat bukan sekadar strategi pilihan raya atau usaha memperoleh kuasa pemerintahan.
“Komitmen ini berlandaskan pegangan agama yang menjadi tunjang perjuangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Bersama BN-PN sempena PRN Melaka di MITC Ayer Keroh hari ini, lapor BH.
Pelancaran manifesto itu disempurnakan Pengerusi BN negeri merangkap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.
Mengulas sejarah hubungan antara kedua-dua parti, Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, kerjasama Pas dan UMNO bukan perkara baharu apabila hubungan tidak rasmi dalam kalangan ahli kedua-dua parti sudah terjalin sejak 2004, khususnya dalam bidang keilmuan, pendidikan dan dakwah.
Katanya, pengalaman bekerjasama dalam bidang berkenaan menjadi asas keyakinan bahawa kesepakatan sama mampu diperluaskan kepada sektor politik dan pentadbiran menerusi gagasan Muafakat Melaka.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerjasama BN-PN perlu disusuli kesatuan pemikiran, penyelarasan tindakan serta komitmen berterusan bagi memastikan setiap tawaran manifesto dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, gagasan Muafakat Melaka juga perlu berteraskan tiga prinsip utama, iaitu integriti dalam pentadbiran, kemakmuran yang dinikmati bersama serta keadilan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Setiap keputusan menyentuh kehidupan manusia dan setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberi manfaat kepada rakyat. Sebab itulah pelancaran manifesto ini perlu disambut dengan kesungguhan untuk melaksanakannya,” katanya.
Zulkifli berkata, permuafakatan itu tidak seharusnya terhenti pada penyatuan politik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, golongan muda perlu diberikan ruang meningkatkan kemahiran dan membina kerjaya, manakala peniaga kecil, nelayan, petani serta pekerja perlu terus mendapat pembelaan sewajarnya.
Beliau menegaskan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada rakyat juga perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.





