SEORANG lelaki warga Hong Kong yang dipercayai menjadi dalang sindiket penyeludupan kokain antarabangsa diberkas selepas kegiatan merekrut rakyat Malaysia yang berdepan masalah kewangan untuk dijadikan keldai dadah terbongkar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah di Thailand dan bertanggungjawab mengatur penghantaran kokain dari Malaysia ke Indonesia, Hong Kong serta Jepun.
Katanya, suspek ditahan semalam hasil risikan dan kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia, selain polis merampas 450 gram kokain serta dua pasang kasut yang dipercayai digunakan untuk menyembunyikan dadah.
“Individu yang memegang pasport Hong Kong itu adalah dalang penyeludupan kokain dari Malaysia.
“Dia mempunyai hubungan dengan sindiket di Thailand dan merekrut rakyat Malaysia untuk membawa dadah berkenaan ke Indonesia, Hong Kong serta Jepun,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini, lapor NST.
Menurut Hussein, penahanan itu hasil siasatan susulan terhadap 10 rakyat Malaysia berusia antara 19 hingga 26 tahun yang ditahan di lapangan terbang di Indonesia dan Jepun sebelum ini.
Pada 25 September lalu, lima rakyat Malaysia terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, membabitkan dua individu dari Pahang dan tiga dari Sarawak.
Lima lagi rakyat Malaysia, terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita dari Sarawak, ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada 10 Oktober lalu berhubung rampasan kokain bernilai RM31 juta yang disembunyikan di dalam kasut.
Siasatan mendapati kedua-dua kumpulan berkenaan direkrut oleh sindiket sama untuk membawa dadah menggunakan penerbangan komersial dengan menyembunyikannya di dalam kasut.
Hussein berkata, kebanyakan individu yang direkrut menyedari mereka membawa bahan terlarang, namun terjebak kerana berdepan masalah kewangan.
“Mereka terdiri daripada individu yang berdepan masalah kewangan. Mereka kemudian mendekati rakan, kenalan atau individu dalam lingkungan pergaulan yang diketahui mempunyai masalah kewangan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, polis turut mengenal pasti empat individu yang direkrut sindiket itu, termasuk tiga lelaki dan seorang wanita dari Sarawak, selain pembekal dadah warga asing.
Daripada jumlah itu, tiga individu ditahan Bukit Aman dan tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Seorang lagi individu yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah pula ditahan pihak berkuasa Hong Kong ketika cuba menyeludup dadah ke wilayah berkenaan.
Beliau berkata, pegawai penyiasat Malaysia turut ke Jakarta bagi menemu bual lima rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu, sekali gus memperoleh maklumat risikan untuk mengenal pasti pihak yang mengendalikan sindiket berkenaan.
Hasil siasatan lanjut turut membawa kepada pengesanan sumber bekalan kasut yang digunakan untuk menyembunyikan dadah serta lokasi penginapan individu yang direkrut.
Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak September lalu.
Sementara itu, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek warga asing terbabit positif THC, manakala semakan latar belakang mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah lampau di negara asalnya.
Dua lagi suspek masing-masing mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan kesalahan berkaitan dadah.
Hussein berkata, operasi berkenaan membuktikan kepentingan perkongsian maklumat risikan rentas sempadan bagi mengenal pasti dalang sindiket, bukan sekadar menahan individu yang bertindak sebagai penghantar dadah.
Katanya, polis akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa asing bagi melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa serta mengelakkan rakyat Malaysia terus dipergunakan sebagai keldai dadah.





