BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ditempatkan di Penjara Kajang selepas dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan pergigian hari ini.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna kelabu yang membawa Najib dilihat memasuki Kompleks Penjara Kajang kira-kira jam 7.15 malam tadi dengan diiringi pasukan keselamatan penjara.
Terdahulu, kenderaan berkenaan dilaporkan keluar dari kompleks penjara itu pada jam 2.37 petang bagi membawa beliau mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di HKL, lapor Buletin TV3.
Perkembangan itu berlaku susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penelitian serta penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perintah mahkamah berkaitan.
Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pelaksanaan pengampunan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.
Media hari ini melaporkan, Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.
Najib, 73, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.




