SYARIKAT teknologi berpangkalan di Singapura, Bitdeer Technologies Group (Bitdeer) menyatakan hasrat untuk meneruskan pelaburan di Malaysia, termasuk memperhalusi cadangan jangka panjang bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakan pengasas, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bitdeer, Jihan Wu ketika mengadakan kunjungan hormat bersama delegasi syarikat berkenaan petang tadi.
Menurutnya, keyakinan Bitdeer untuk terus melabur di negara ini didorong hala tuju serta dasar Kerajaan MADANI dalam melaksanakan transformasi digital.
Beliau berkata, Bitdeer merupakan syarikat teknologi yang menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan untuk AI selain membangunkan infrastruktur perlombongan Bitcoin.
“Saya dimaklumkan bahawa Bitdeer menyatakan hasrat untuk terus melabur di Malaysia kerana yakin dengan hala tuju dan dasar Kerajaan MADANI dalam transformasi digital.
“Mereka sedang memperhalusi cadangan pelaburan jangka panjang bagi membangunkan infrastruktur AI bertaraf dunia di negara kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Anwar berkata, pelaburan strategik dalam sektor berkenaan perlu turut memberi manfaat kepada tenaga kerja tempatan, khususnya menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.
Katanya, pembangunan kepakaran rakyat Malaysia dalam bidang AI, kejuruteraan dan pengkomputeran termaju perlu menjadi antara keutamaan bagi memastikan mereka turut mendapat manfaat daripada perkembangan industri digital.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI akan terus memudah cara kemasukan pelaburan strategik bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi digital, merangsang pembangunan industri tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Untuk rekod, Bitdeer yang disenaraikan di Nasdaq turut diberikan status Malaysia Digital, sekali gus menjadi sebahagian daripada ekosistem syarikat teknologi digital di negara ini.





