Kes vape dadah di Nilai: Dua remaja ditahan, pembekal utama diburu

POLIS menahan dua remaja yang dipercayai terbabit dalam kegiatan membekalkan rokok elektronik (vape) mengandungi dadah kepada seorang pelajar sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan yang sebelum ini tular selepas dipercayai khayal akibat menghisap bahan terlarang itu.

Dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 17 dan 18 tahun, dengan seorang daripadanya merupakan rakan sekolah kepada mangsa, manakala seorang lagi tidak bersekolah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja itu dipercayai berperanan sebagai orang tengah yang mendapatkan vape berkenaan sebelum membekalkannya kepada pelajar sekolah terbabit.

Menurutnya, polis sedang mengesan seorang lagi individu yang dipercayai menjadi pembekal kepada kedua-dua suspek terbabit.

“Kita sedang giat mengesan seorang lagi individu yang bertindak membekalkan vape berkenaan kepada kedua-dua mereka,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan pelajar berusia 17 tahun itu positif tiga jenis dadah iaitu ketamin, benzodiazepin dan THC.

Keputusan itu diperoleh susulan penularan rakaman video menerusi aplikasi Threads pada 28 Oktober lalu yang memaparkan pelajar berkenaan dalam keadaan dipercayai khayal di sebuah sekolah menengah di Nilai.

Pelajar terbabit sebelum ini dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian pembekalan cecair vape mengandungi dadah itu, termasuk mengesan pihak yang menjadi sumber utama bekalan kepada remaja terbabit.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here